Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Henderson terus setia bersama Liverpool

    LIVERPOOL, 31 OGOS – Liverpool mengumumkan hari ini bahawa ketua pasukan, Jordan Henderson telah melanjutkan kontrak jangka masa panjang yang baharu bersama kelab dan dilaporkan akan kekal bersama kelab gergasi England itu sehingga 2025.

    “Jordan Henderson telah menandatangani satu kontrak baharu bersama Liverpool FC dan mengesahkan komitmen jangka masa panjang kepada The Reds,” menurut kenyataan.

    Pemain berusia 31 tahun itu membuat 394 penampilan sejak menyertai kelab dari Sunderland satu dekad yang lalu dan memimpin Liverpool menjulang kejuaraan pertama dalam masa 30 tahun pada 2020.

    “Saya berbesar hati dan bangga untuk meneruskan perjalanan yang saya lalui di sini,” kata Henderson.

    “Hebat rasanya kerana telah menyelesaikan segalanya dan hanya menumpukan pada masa depan dan melihat apa yang bakal berlaku.

    Gambar fail reaksi Jordan Henderson semasa perlawanan bersama Liverpool musim lalu. Henderson bersetuju melanjutkan kontrak bersama Liverpool. – AP

    “Saya berada di kedudukan berbeza, sebagai seorang pemain dan insan, dari ketika saya pertama kali menjejakkan kaki di sini. Saya banyak belajar dan meningkat sepanjang berada di sini, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang berada di sini.”

    Pemain tengah England itu memenangi Liga Juara-Juara, Liga Super UEFA, Piala Dunia Kelab dan Piala Liga semasa beraksi bersama Liverpool.

    Kurangnya aktiviti di jendela perpindahan yang dilakukan oleh Liverpool telah mengundang kritikan di kalangan peminat, yang mana Chelsea, Manchester City dan Manchester United telah memperkuatkan skuad mereka semasa jendela perpindahan ini.

    Pemain bek tengah, Ibrahima Konate menjadi satu-satunya tambahan dalam skuad Jurgen Klopp selepas dibeli dengan harga 36 juta pound dari RB Leipzig.

    Walau bagaimanapun, Henderson bersama enam pemain senior Liverpool telah melanjutkan kontrak dalam beberapa minggu kebelakangan selepas Alexander-Arnold, Fabinho, Alisson Becker, Virgil van Dijk dan Andy Robertson. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda