Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Henderson tinggalkan Ajax setahun lebih awal

    THE HAGUE, 11 JULAI – Bekas pemain tengah Liverpool dan England, Jordan Henderson, akan meninggalkan kelab gergasi Belanda, Ajax, setahun lebih awal daripada tempoh kontraknya, menurut pengumuman rasmi kelab itu kelmarin.

    Pemain berusia 35 tahun itu menyertai Ajax yang berpangkalan di Amsterdam pada Januari 2024 dalam sambutan penuh gilang-gemilang hanya enam bulan selepas perpindahannya dari Liverpool ke kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq, yang sempat mencetuskan kontroversi.

    Perpindahannya ke Arab Saudi juga menimbulkan tuduhan bahawa dia mengutamakan wang berbanding prinsip.

    Namun, Henderson segera menamatkan polemik itu apabila dia dilantik sebagai kapten Ajax dan membuat 57 penampilan dengan jersi keramat yang pernah dipakai legenda seperti Johan Cruyff dan Dennis Bergkamp.

    Dengan Henderson sebagai tonggak utama, Ajax bangkit daripada musim terburuk mereka untuk kembali mencabar kejuaraan Eredivisie musim lalu.

    Jordan Henderson bakal meninggalkan Ajax selepas membuat 57 penampilan. – AP

    Namun, mereka akhirnya melepaskan peluang bergelar juara Belanda selepas mensia-siakan kelebihan sembilan mata dengan hanya baki lima perlawanan, sekali gus menyerahkan kejuaraan kepada seteru utama, PSV Eindhoven.

    Pengarah Teknikal Ajax, Alex Kroes, menyifatkan Henderson sebagai “kapten sejati buat kami, di dalam dan di luar padang.”

    “Melalui mentaliti dan sifat kepimpinannya, beliau memberi sumbangan besar dalam membantu kelab layak ke Liga Juara-Juara UEFA,” kata Kroes.

    Prestasi cemerlang Henderson bersama Ajax turut menyaksikan dia mendapat panggilan semula yang mengejutkan ke dalam skuad England di bawah kendalian Thomas Tuchel pada bulan Mac.

    Dalam kenyataannya, Henderson berkata, “Bermain untuk kelab ini adalah satu penghormatan besar. Dan diberi kepercayaan untuk menjadi kaptennya adalah satu keistimewaan yang lebih besar.” – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda