BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Seramai 46 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Hengyi Industries Sdn Bhd telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran di Surau Pusat Pembangunan Kapasiti (PPK), Pulau Muara Besar hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia), Haji Zolkiflee bin Haji Abdul Karim; Setiausaha Tetap (Industri), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Industri), Dayang Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra serta para pegawai dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Hamirul Hashim bin Haji Hassan, diikuti dengan bacaan surah-surah Al-Quran dan takhtim yang diketuai oleh Awangku Khairul Alimin bin Pengiran Haji Osman.
Sementara itu Awang Mohd Aminuddin bin Haji Yusof pula mengetuai bacaan Dikir Marhaban dan acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Awang Mohammad Fazli bin Haji Zulkifli.
Majlis itu diadakan antara lain bertujuan bagi menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan ini dan sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan pembacaan Al-Quran.

