DALAM aspirasi negara untuk merangsang pertumbuhan ekonominya, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah secara aktif mempromosi kepelbagaian pembangunan negara dengan memfokuskan kepada beberapa inisiatif dan matlamat strategik melalui pelaksanaan Wawasan Brunei 2035, di mana salah satu strategi utamanya adalah untuk mewujudkan pekerjaan baharu kepada anak-anak tempatan dan juga memperluaskan peluang perniagaan di Negara Brunei Darussalam melalui promosi pelaburan asing dan domestik.
Sehubungan dengan itu, Hengyi Industries Sdn Bhd telah dikenali sebagai salah satu pelaburan luar negeri terbesar syarikat swasta China di Brunei Darussalam. Ianya telah ditubuhkan melalui perjanjian usaha sama antara Zhejiang Hengyi Petrochemical Co. Ltd dan Damai Holdings Limited, anak syarikat milik penuh Dana Modal Pembangunan Strategik (SDCF), sebuah sub-dana amanah, di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Negara Brunei Darussalam.
Hengyi Industries Sdn Bhd menyokong sepenuhnya terhadap Wawasan Brunei 2035 yang bertujuan untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan juga menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial jangka panjang Negara Brunei Darussalam.
Dalam sama-sama merealisasikan aspirasi Negara Brunei Darussalam dan Zhejiang Hengyi Petrochemical Co. Ltd untuk terus mengembangkan sektor hiliran dan mengintegrasikan semula aktiviti pengeluarannya, kedua-dua pihak telah bekerjasama membangunkan penapisan bertaraf dunia dan petrokimia bersepadu di Negara Brunei Darussalam. Ianya merupakan salah satu projek pembangunan yang paling penting dalam bidang ekonomi dan perdagangan Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.
Projek penting ini dibahagikan kepada dua fasa jadual pembangunan.


Semasa fasa pertama, kilang penapisnya dijangka mempunyai kapasiti untuk menapis 175,000 tong minyak mentah setiap hari, menghasilkan produk-produk bermutu tinggi bagi menampung permintaan domestik dan aromatik untuk dieksport ke China sebagai stok aset Zhejiang Hengyi Petrochemical Co Ltd. Manakala fasa keduanya pula merangkumi rancangannya untuk memperluaskan lagi kilang aromatik dan kerepeknya, menyediakan blok-blok bangunan untuk industri petrokimia.
Di samping itu, Kompleks Penapisan Minyak dan Petrokimia Pulau Muara Besar yang dijalankan oleh Hengyi Industries Sdn Bhd juga begitu komited untuk melaksanakan Bruneianisation Directive, dengan menyokong sepenuhnya terhadap aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mencapai 90 peratus Bruneianisation, bukan sahaja dalam sektor minyak dan gas bahkan juga dalam industri-industri lainnya.
Sejak penubuhannya, Hengyi Industries Sdn Bhd telah banyak melabur dalam pembangunan kapasiti manusia dan juga latihan-latihan tempatan bagi meningkatkan lagi tahap Bruneianisation itu.
Melihat jauh ke hadapan, syarikat berkenaan merancang untuk meningkatkan lagi usaha-usaha ke arah localisation dengan anggaran sekurang-kurangnya 5 peratus setiap tahun, yang mana disasarkan untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan secara langsung mahupun tidak langsung kepada anak-anak tempatan Brunei. Dengan demikian, ianya mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negara Brunei Darussalam dan menyokong Wawasan Brunei 2035 untuk mewujudkan pekerjaan baharu kepada rakyatnya.
Selain itu, Hengyi Industries Sdn Bhd juga mematuhi segala arahan pembangunan perniagaan tempatan di mana ianya telah membuat kerjasama dan perhubungan bersama perniagaan-perniagaan tempatan seperti dalam bidang telekomunikasi, logistik, keselamatan, penyelenggaraan, kerja-kerja kaji selidik dan perundingan semasa fasa pembinaannya. Sasaran Hengyi Industries Sdn Bhd adalah untuk mewujudkan lebih banyak nilai-nilai manfaat dan peluang-peluang kepada syarikat-syarikat tempatan semasa peringkat operasi tersebut.
Hengyi Industries Sdn Bhd juga berusaha untuk meneguhkan ikrarnya agar sentiasa mematuhi segala jaminan kesihatan dan keselamatan negara dan rakyatnya dengan mematuhi sepenuhnya terhadap undang-undang alam sekitar kerajaan Brunei Darussalam yang begitu ketat dan juga mengamalkan amalan terbaik dunia dalam melindungi alam sekitar.
Oleh itu, tahun 2019 adalah tahun yang sangat penting bagi Hengyi Industries Sdn Bhd kerana telah melakukan pelabagai usaha demi mencapai pencapaian penting itu, seterusnya menetapkan asas yang kukuh terhadap pencapaian Wawasan Brunei 2035 dengan adanya operasi Kompleks Minyak dan Petrokimia Pulau Muara Besar pada suku ketiga 2019.