Hengyi lancar inisiatif pantai bersih

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi), hari ini, telah melancarkan Inisiatif Pantai Bersih dan mengadakan aktiviti membersihkan pantai di Pantai Rekreasi Muara sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) jangka panjang untuk menyumbang dan menerapkan kesedaran mengenai pentingnya kitar semula dan memelihara keindahan pantai di Brunei ke arah masa depan yang lestari.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, Hengyi meletakkan dua papan tanda dan enam tong kitar semula di Pantai Rekreasi Muara dan dua tong kitar semula di Pantai Serasa sebagai peringatan kepada orang ramai untuk membantu menjaga kebersihan pantai dan menerapkan gaya hidup yang lebih hijau, menurut kenyataan yang dikeluarkan Hengyi.

Kenyataan menambah, Hengyi juga akan melibatkan syarikat pembersih pihak ketiga untuk memastikan tong sampah dikekalkan dan dibersihkan secara berkala. Sampah yang dikumpulkan akan dihantar ke kemudahan kitar semula untuk diproses dan dikitar semula.

Pada majlis tersebut, Timbalan Pengurus Besar Hengyi Industries, Xu Ye menyerahkan tong sampah dan papan tanda kepada Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Dayang Martinah binti Haji Tamit yang hadir selaku tetamu kehormat.

Selepas upacara penyerahan berkenaan, Hengyi bekerjasama dengan Green Brunei dan mengadakan aktiviti membersihkan pantai di mana lebih 100 orang kakitangan dan sukarelawan Hengyi membersihkan sampah di Pantai Rekreasi Muara.

Kenyataan menjelaskan, Inisiatif Pantai Bersih direka oleh Hengyi dalam usaha untuk membantu mengatasi pencemaran pantai dan mengurangkan jumlah sampah plastik yang memasuki lautan.

Melalui inisiatif itu, Hengyi komited untuk menjaga kebersihan pantai di negara ini dengan penyelenggaraan tong sampah kitar semula dan untuk memotivasikan orang ramai menerapkan gaya hidup yang lebih hijau dalam kehidupan seharian mereka melalui lebih banyak pembersihan pantai pada masa depan.

Dayang Martinah dan Xu Xe semasa melancarkan Inisiatif Pantai Bersih di Pantai Rekreasi Muara dengan memasukkan botol plastik ke dalam tong kitar semula yang disumbangkan syarikat itu.
Aktiviti membersihkan pantai di mana lebih 100 orang kakitangan Hengyi dan sukarelawan Green membersihkan sampah di Pantai Rekreasi Muara.