Hengyi, pemohon tempatan meterai perjanjian

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Job Centre Brunei telah menganjurkan majlis menandatangani kontrak di antara Hengyi Industries Sdn Bhd dan pemohon tempatan di Job Centre Brunei di Beribi, Gadong, baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya taklimat mengenai keselamatan.

Ini diikuti oleh kata alu-aluan daripada Pegawai Tugas-tugas Khas, Job Centre Brunei, Dayang Nur Saidatul Syahidah binti Awang Shahri.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut adalah Pemangku Penolong Pengarah Job Centre Brunei, Pengiran Haji Shariful bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail. Turut hadir adalah pegawai-pegawai dari Job Centre Brunei dan Kementerian Tenaga serta wakil utama dari Hengyi Industries Sdn Bhd.

Job Centre Brunei dengan sokongan Kementerian Tenaga telah menganjurkan satu kempen perekrutan baru-baru ini yang merupakan Hari Terbuka Hengyi dengan kerjasama Hengyi Industries Sdn Bhd pada September hingga November 2019.

Hari terbuka tersebut telah diadakan di empat-empat daerah dan dihadiri oleh pencari pekerjaan tempatan daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan institusi.

Menerusi usaha sama di antara kerajaan dan agensi sektor swasta tempatan, syarikat seperti Hengyi Industries Sdn Bhd berupaya mengenal pasti bakat tempatan dan menjadikan mereka sebahagian daripada tenaga kerja generasi baharu mereka.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama pemohon tempatan pada majlis menandatangani kontrak di Job Centre Brunei baru-baru ini.