LONDON, 5 Julai – Penjaga gol antarabangsa Wales, Wayne Hennessey telah menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun di Crystal Palace kelmarin meskipun kelab itu membawa masuk penjaga gol dari Sepanyol, Vincente Guaita.
Pemain berusia 31 tahun yang mengumpul kap sebanyak 76 kali dan merupakan pemain penting dalam skuad Wales yang mara ke peringkat suku akhir Euro 2016 namun tewas kepada Portugal, menyertai Palace dari Wolverhampton Wanderers pada 2014.
Hennessey yang menjadi penjaga gol utama Palace dalam kempen 2015/2016 berkata, aksi mantap yang ditonjolkan oleh pasukan menuju akhir musim lepas di bawah kendalian Roy Hodgson menjadi faktor utama kenapa dia mahu menyambung kontrak.
“Saya begitu gembira untuk kekal bersama kelab ini,” katanya menerusi laman sesawang Palace.
“Saya selalu berkata bahawa saya gembira beraksi di sini dan cara pasukan ini mengakhiri musim menunjukkan kebolehan kami untuk mencapai sesuatu sebagai satu pasukan.
“Sekarang saya cuma mahu fokus untuk persediaan bagi musim baharu dan membantu kelab ini mencapai ke tahap seterusnya.”
Hodgson membawa Palace ke kedudukan selamat dan menghuni kedudukan ke-11 selepas Palace tewas dalam tujuh perlawanan awal musim lepas.
Hennessey membuat keputusan itu sehari selepas bekas pemain antarabangsa Perancis, Yohan Cabaye menyertai Al Nasr selepas memutuskan untuk tidak menyambung kontrak. – AFP