BRUGES, Belgium, 25 Okt – Monaco yang dibelenggu dengan kecederaan gagal untuk memberikan Thierry Henry kemenangan pertama sebagai ketua jurulatih dengan keputusan seri 1-1 dalam persaingan Liga Juara-Juara di Club Brugge semalam.
Moussa Sylla meningkatkan harapan Monaco bagi menamatkan 11 perlawanan tanpa sebarang kemenangan dengan membuka jaringan hanya selepas perlawanan memasuki setengah jam di Stadium Jan Breydel, tetapi Wesley menjaringkan gol bagi juara Belgium itu untuk menamatkan satu mata.
“Kami kurang negatif berbanding di Strasbourg,” kata Henry, selepas kekalahan kepada Strasbourg ketika menjadi jurulatih pada Sabtu. “Tetapi seri adalah seri, ia bukanlah satu kemenangan.”
Kelab tersebut sekarang melalui 11 perlawanan Liga Juara-Juara tanpa kemenangan sejak kejayaan agregat 6-3 ke atas Borussia Dortmund dalam perlawanan suku akhir 2016-17.
Henry, yang mengambil alih dari Leonardo Jardim yang dipecat awal bulan ini, menyaksikan pasukan mudanya mempamerkan permainan yang bersemangat biarpun skuad dibelenggu dengan kecederaan. Keputusan itu menyaksikan kedua buah pasukan menghadapi penyingkiran dari Kumpulan A.
“Ia bukanlah mudah untuk mendapatkan mata dari gelanggang luar, tetapi kami tidak akan terbawa-bawa,” tambah bekas bintang Arsenal itu, 41.
“Mereka menguasai banyak bola berbanding kami, tetapi kami begitu kental.” – AFP
