LONDON, 27 APRIL – Thierry Henry dan Alan Shearer semalam dinamakan sebagai pemain pertama yang dimasukkan ke dalam Hall of Fame Liga Perdana Inggeris (EPL) rasmi sebagai pengiktirafan gabungan 435 gol dan tujuh anugerah Golden Boot.
Penjaring terbanyak sepanjang masa Arsenal, Henry memenangi dua gelaran EPL di bawah kendalian Arsene Wenger dan merupakan sebahagian daripada pasukan ‘Invincibles’ yang tidak kalah sepanjang kempen ketika memenangi gelaran 2003/04.
Penjaring terbanyak Perancis dan pemenang Piala Dunia 1998 itu menjaringkan lebih daripada 20 gol di EPL dalam lima musim berturut-turut antara 2001/02 dan 2005/06.
“Dipilih bersama Alan Shearer sebagai dua pemain pertama ke Hall of Fame EPL adalah sangat istimewa,” kata Henry.
“Ketika saya masih muda, saya hanya berusaha memastikan saya dapat sepasang but dan sekarang kita bercakap mengenai Hall of Fame.”
Shearer, yang memenangi gelaran dengan Blackburn pada tahun 1995, adalah penjaring gol terbanyak EPL dengan menjaringkan 260 gol dalam 14 musim untuk Blackburn dan Newcastle.
“Apabila anda melihat beberapa pemain yang luar biasa telah memenangi EPL, minggu ke minggu, minggu ke tahun, tahun ke tahun, saya merasa sangat berbesar hati untuk menyertai Hall of Fame,” kata bekas kapten England itu.
“Saya hanya mahu menjadi pemain bola sepak profesional. – AFP
