Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hentikan pengambilan beni-koji dengan serta-merta

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran untuk mengimport dan menjual produk suplemen kesihatan yang mengandungi beni-koji atau red yeast rice yang dikilangkan oleh Syarikat Kobayashi Pharmaceutical, Jepun, di Negara Brunei Darussalam.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, memaklumkan perkara itu, susulan terdapatnya laporan di akhbar-akhbar dan media mengenai penarikan balik produk suplemen kesihatan oleh pengilang Syarikat Kobayashi Pharmaceutical, Jepun bagi produk suplemen kesihatan yang mengandungi beni-koji atau red yeast rice.

    Produk suplemen kesihatan yang terjejas dikenal pasti dipasarkan dengan beberapa jenama iaitu Beni-koji Choleste-help (Red yeast rice cholesterol help), Nattokinase Smooth Grain Gold dan Naishi-help Plus Cholesterol.

    Penarikan balik produk-produk berkenaan oleh Syarikat Kobayashi Pharmaceutical adalah disebabkan negara Jepun telah melaporkan lima kematian dan 196 kes pesakit telah dirawat di hospital setakat 4 April.

    Kes-kes berkenaan telah pun dikaitkan dengan pengambilan produk kesihatan yang mengandungi beni-koji atau red yeast rice yang dikilangkan oleh syarikat tersebut.

    Produk suplemen kesihatan yang mengandungi beni-koji atau red yeast rice yang tidak pernah dikeluarkan kebenaran untuk mengimport dan menjualnya oleh Kementerian Kesihatan. – GAMBAR SUMBER LAMAN SESAWANG KOBAYASHI PHARMACEUTICAL

    Sebab kematian dan pesakit dimasukkan ke hospital masih dalam siasatan pihak berkuasa Jepun dan pihak pengilang.

    Kementerian Kesihatan menerangkan beni-koji atau red yeast rice adalah bahan yang diekstrak daripada proses fermentation atau penapaian beras dengan menggunakan sejenis yis yang dikenali sebagai Monascus purpureus.

    Di antara bahan yang diekstrak daripada proses fermentation beras dengan Monascus purpureus, adalah satu bahan aktif semula jadi yang dikenali sebagai Monocolin-K.

    Struktur kimia Monocolin-K adalah sama dengan struktur ubat farmaseutikal lovastatin yang berfungsi untuk mengawal tahap kolesterol dalam darah. Beni-koji atau red yeast rice juga digunakan sebagai bahan dalam makanan seperti dalam produk minuman, sup, bahan pewarna dan bahan perisa makanan.

    Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk berkenaan dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta-merta dan mana-mana produk dalam simpanan dikembalikan balik kepada ejen pembekal ataupun dimusnahkan.

    Orang ramai juga dinasihatkan untuk terlebih dahulu berbincang dengan doktor atau pegawai farmasi sebelum mengambil mana-mana produk suplemen kesihatan. Produk suplemen kesihatan termasuk produk yang mengandungi beni-koji atau red yeast rice berpotensi untuk berinteraksi dengan ubat-ubatan yang sedang diambil oleh para pesakit.

    Ini boleh menyebabkan kesan advers atau sampingan yang tidak diingini dan boleh menjejaskan rawatan penyakit yang sedia ada.

    Untuk makluman dan pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Regulatori Produk melalui talian 2393301 atau 2393230 sambungan 225, menghantar e-mel kepada tmhs.unit@moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda