DAMSYIK, 3 JUN – Israel melancarkan serangan kedua ke atas Syria dalam masa 24 jam semalam, lapor media negeri, tatkala Presiden AS Donald Trump meminta Rusia dan Iran supaya ‘berhenti mengebom’ negara itu.
Syria menuduh Israel menyasarkan sebuah pangkalan tentera udara di wilayah Homs, dilaporkan membunuh lima orang, beberapa jam selepas melancarkan serangan balas ke atas tentera dan pos risikan di selatan Damsyik, membunuh 10 orang.
“Pertahanan udara kami mematahkan serangan Israel dan memusnahkan dua roket yang menyasarkan pangkalan udara T-4,” beritahu sumber tentera kepada agensi berita SANA pada petang semalam.
Roket yang lain “membunuh seorang tentera, mencedera dua yang lain serta memusnahkan sebuah gudang senjata,” tambah sumber itu.
Balai Cerap untuk Hak Asasi Manusia di Britain melaporkan lima orang terbunuh, termasuk seorang askar Syria, menambah sebuah gudang roket juga musnah.
Selain daripada tentera Syria, pejuang Iran dan tentera separa Hezbollah juga ditempatkan di pangkalan tentera udara, menurut pengawas. – AFP