Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa maklumat yang disebarkan di media sosial yang mempersoalkan keperluan pengambilan vaksin COVID-19, vaksin penggalak (booster) dan ia sebagai vaksin percubaan, adalah tidak benar serta tidak berasas.
Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk tidak merasa cemas dengan penularan maklumat yang tersebar itu.
Kementerian Kesihatan menjelaskan perkara itu menerusi kenyataannya yang dikeluarkan, di sini, hari ini, berikutan berita tidak sahih yang dimuat naik oleh seorang pengguna akaun Instagram.
Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa kementerian itu bertanggungjawab bagi memastikan kesihatan awam terjaga daripada penularan penyakit-penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta akan sentiasa memastikan semua ubat termasuk vaksin yang digunakan di Negara Brunei Darussalam telah melalui penelitian dan pemantauan rapi sebelum ia digunakan di negara ini.
Oleh itu, Kementerian Kesihatan menjamin bahawa semua vaksin COVID-19 yang digunakan di negara ini telah menjalani pemeriksaan dan kawalan rapi sebelum ia diberikan kepada orang ramai daripada segi keselamatan dan keberkesanannya secara saintifik.
Kenyataan menekankan lagi bahawa vaksin COVID-19 tidak akan dapat mengubah struktur genetik mana-mana penerima dan tidak akan dapat memusnahkan imuniti sedia ada di dalam tubuh manusia, malah ia akan mengajar tubuh kita untuk menentang virus SARS-CoV-2 dan meningkatkan imuniti badan daripada jangkitan COVID-19.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media lain seperti Instagram, Whatsapp, Facebook tanpa memastikan kesahihannya.
Seterusnya, orang ramai juga diperingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak turut menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak disahkan oleh Kementerian Kesihatan.
Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh di penjara tiga tahun dan denda $3,000.
Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas individu-individu yang bertanggungjawab menyebarkan kepercayaan sendiri bagi mengelirukan orang lain dalam pengambilan vaksin COVID19.
Bagi orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau menghubungi Talian Darussalam 123.