WASHINGTON, 2 Ogos – Donald Trump semalam memberitahu peguam negaranya supaya menamatkan siasatan profil tinggi dalam campur tangan pilihan raya Rusia yang telah menjebak anggota utama kempen presidennya, sekali gus memberi kesan kepada Rumah Putih.
Dalam beberapa siri tweet yang mencetuskan tuduhan bahawa Trump berusaha memutarbalikkan proses keadilan, presiden mengecam siasatan yang dipimpin oleh peguam khas Robert Mueller sebagai ‘satu keaiban.’
“Ia adalah situasi dahsyat dan Peguam Negara, Jeff Sessions harus menghentikan kempen pemburuan sekarang, sebelum ia terus mencemari negara kami,” kata Trump.
Pembantu bergegas untuk mengehadkan kerosakan, menegaskan dia tidak mengeluarkan perintah sebagai seorang ketua.
“Ia bukan satu perintah, ia adalah pendapat presiden,” beritahu jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders kepada wartawan, menambah Trump mahu siasatan itu ‘berakhir.’

Peguamnya Rudy Giuliani menambah: “Beliau menggunakan perantara yang digunakan untuk mengeluarkan pendapat iaitu Twitter. Salah satu perkara baik ketika menggunakan platform itu adalah beliau telah melatih dirinya ketika meluahkan pendapatnya di Twitter.
“Beliau menggunakan perkataan ‘harus’, beliau tidak menggunakan perkataan ‘mesti.’
Presiden bersama sekutu dalam media konservatif telah melancarkan kempen PR ke atas siasatan Mueller, yang didakwanya bersifat berat sebelah dan mempunyai dakwaan yang tidak betul tentang komplot di antara kumpulan kempennya dan Moscow.
“Pakatan Rusia dengan Kempen Trump, salah satu yang paling berjaya dalam sejarah, merupakan satu tipu helah,” kata presiden semalam.
Mueller, seorang bekas pengarah FBI yang disegani, sedang menyiasat sama ada kempen Trump dibantu oleh Rusia untuk mempengaruhi pilihan raya presiden 2016, atau cuba menyembunyi komplot itu. – AFP