Pengacara Malaysia, Didie Alias memohon agar menghentikan spekulasi terhadap pelawak Along Cham yang ditahan susulan dua pertuduhan memiliki ganja.
Didie yang juga rakan baik kepada pelawak, pelakon dan pengacara itu turut memohon warganet agar berhenti menyebarkan berita tidak sahih dalam media sosial demi menjaga aib Along dan keluarga.
“Tolonglah hentikan, siapa tahu dia tahulah. Semuanya masih dalam siasatan.
“Kita jaga nama dan aib Along dan keluarganya. Saya bukan nak mempertahankan sesiapa, cuma jangan dibesar-besarkan isu yang masih dalam siasatan.
“Doakan semoga urusan Along dipermudahkan,” kata Didie yang ditemui pada ditemui pada majlis pelancaran dua produk CONBOO, Beau3 Milk dan minyak wangi, CONBOO Scents di ibu negara, baru-baru ini.
Didie menganggap Along seperti keluarga sendiri juga memberi amaran kepada sesiapa yang berterusan menyebarkan aib Along agar menghentikan perbuatan yang boleh mengundang fitnah, lapor BH Online.
“Tolong hormati kami dan industri kami,” kata Didie yang enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, Along atau nama sebenar, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, didakwa dengan dua pertuduhan miliki ganja di dua mahkamah berasingan di sini, membabitkan ganja seberat 58.23 gram (g) dan 2.07g.
Bagaimanapun, Along mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, selebriti itu didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23g di sebuah rumah di Cyberjaya pada 14 Disember lalu. – Agensi