Oleh Umi Kalthum Mohd Isa –
SELANGOR – Hati merupakan organ penting yang memainkan peranan utama dalam fungsi tubuh, termasuk metabolisme, imuniti, pencernaan dan penyahtoksikan.
Apabila hati menjadi radang atau bengkak keadaan yang dikenali sebagai hepatitis fungsi-fungsi ini boleh terganggu, sekali gus menyebabkan komplikasi kesihatan yang berbeza-beza daripada ketidakselesaan ringan kepada kerosakan hati yang serius.
Punca paling lazim hepatitis ialah jangkitan virus. Ia diklasifikasikan berdasarkan jenis virus yang terlibat, iaitu hepatitis A, B, C, D atau E.
Hepatitis A dan E biasanya tersebar melalui makanan atau air yang tercemar, manakala hepatitis B, C dan D lebih kerap merebak melalui sentuhan dengan darah atau cecair badan yang dijangkiti.
Selain jangkitan virus, hepatitis juga boleh disebabkan oleh pengambilan alkohol berlebihan, pendedahan kepada bahan toksik, atau penyakit autoimun tertentu.


Beberapa kumpulan menghadapi risiko lebih tinggi dijangkiti hepatitis, termasuk petugas kesihatan, individu yang menggunakan dadah secara suntikan, mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual, serta anak damit yang dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti hepatitis.
Hepatitis boleh dikategorikan sebagai akut atau kronik. Hepatitis akut merujuk kepada keradangan hati jangka pendek yang mungkin pulih sendiri tanpa kesan jangka panjang. Namun, dalam sesetengah kes, ia boleh berkembang menjadi hepatitis kronik.
Keadaan ini berlanjutan melebihi enam bulan dan boleh membawa kepada komplikasi serius seperti sirosis, kegagalan hati atau kanser hati.
Dalam kebanyakan kes, pesakit hepatitis tidak menunjukkan sebarang gejala yang ketara pada peringkat awal jangkitan. Namun, apabila penyakit berkembang, beberapa simptom biasa mungkin muncul, termasuk:
• Kekuningan kulit dan mata (jaundis)
• Air kencing berwarna gelap
• Keletihan
• Hilang selera makan
• Loya
• Muntah
• Sakit perut
DI MALAYSIA
Jangkitan hepatitis masih menjadi cabaran utama kesihatan awam di Malaysia.
Dua jenis hepatitis yang paling lazim ialah hepatitis B dan C, yang menyumbang besar kepada beban penyakit hati di Malaysia.
Penyebaran berterusan jangkitan ini dipacu oleh beberapa faktor seperti kesedaran awam yang rendah, akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman, serta tingkah laku berisiko tinggi.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan, antara tahun 2013 hingga 2023, sebanyak 49,992 kes hepatitis B dan 34,573 kes hepatitis C telah dilaporkan.
Pada tahun 2016 semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-69, Malaysia menyatakan komitmennya untuk menghapuskan hepatitis virus sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.
Seiring dengan matlamat ini, Kementerian Kesihatan mengamalkan pendekatan pelbagai sektor dalam menangani hepatitis B dan C.
Kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan merangkumi usaha saringan, penyediaan rawatan dan perkhidmatan imunisasi, serta inisiatif advokasi dan pendidikan awam.
Strategi kesihatan awam Malaysia memberi fokus utama kepada hepatitis B dan C kerana kedua-duanya merupakan penyebab utama penyakit hati kronik dan kanser hati.
Sebaliknya, hepatitis A dan E kebiasaannya bersifat sementara dan tidak memerlukan rawatan jangka panjang, manakala hepatitis D jarang berlaku dan hanya muncul bersama jangkitan hepatitis B.
Oleh itu, hepatitis B dan C menjadi keutamaan dalam saringan, rawatan dan usaha pencegahan.
PENCEGAHAN DAN RAWATAN
Salah satu strategi utama untuk mencegah penularan hepatitis ialah melalui imunisasi.
Di Malaysia, vaksin tersedia bagi hepatitis A dan hepatitis B.
Secara khusus, vaksin hepatitis B telah dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) dan diberikan secara rutin kepada anak damit baru lahir.
Selain itu, bagi ibu hamil yang didiagnosis dengan hepatitis B, rawatan antivirus pencegahan turut diberikan bagi mengurangkan risiko penularan kepada anak damit dalam kandungan.
Selain imunisasi, saringan berkala untuk hepatitis juga sangat penting, terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi, penderma darah dan pekerja asing.
Pengesanan awal membolehkan rawatan dimulakan lebih awal serta membantu mengurangkan penularan dalam komuniti.
Walaupun pencegahan merupakan aspek penting dalam memerangi hepatitis, rawatan berkesan juga sama penting dalam pengurusan penyakit ini.
Rawatan bagi hepatitis virus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kadar kelangsungan hidup jangka panjang.
Namun, tidak semua pesakit hepatitis memerlukan rawatan.
Dalam sesetengah kes, sistem imun mampu mengawal pembiakan virus tanpa intervensi perubatan.
Oleh itu, keputusan untuk memulakan rawatan bergantung kepada beberapa faktor seperti fungsi hati, jumlah virus (viral load) dan keadaan kesihatan lain yang sedia ada.
Bagi hepatitis B kronik, rawatan melibatkan penggunaan ubat antivirus yang bertindak menghalang replikasi virus.
Ini termasuk analog nukleosid seperti entecavir dan analog nukleotid seperti tenofovir.
Ubat-ubatan ini diambil secara oral dan walaupun tidak menyembuhkan hepatitis B, ia mengurangkan risiko komplikasi serius dan meningkatkan peluang kelangsungan hidup.
Kebanyakan pesakit perlu mengambil ubat ini seumur hidup.
Pilihan rawatan lain bagi hepatitis B ialah suntikan peginterferon alpha, iaitu sejenis imunomodulator yang merangsang sistem imun melawan jangkitan.
Di Malaysia, rawatan ini biasanya diberikan kepada pesakit yang tidak memberi tindak balas terhadap ubat antivirus oral atau tidak dapat menanggung kesan sampingan.
Ia tidak disyorkan untuk ibu hamil atau ibu menyusu.
Sementara itu, hepatitis C dirawat dengan ubat antivirus bertindak langsung (direct-acting antivirals) seperti sofosbuvir, daclatasvir, ribavirin dan ravidasvir.
Ubat-ubatan ini terbukti menyembuhkan lebih 95 peratus kes hepatitis C, dengan tempoh rawatan yang lebih pendek dan kesan sampingan yang minimum.
Ia bertindak dengan mengganggu kitaran replikasi virus.
Sebelum memulakan rawatan, penyedia perkhidmatan kesihatan akan menerangkan cara pengambilan ubat yang betul, kepentingan tidak berkongsi ubat dengan orang lain, serta mengelakkan pengambilan ubat lain yang mungkin berinteraksi dengan rawatan.
Ini penting untuk memastikan keberkesanan rawatan hepatitis C.
Walaupun ubat antivirus untuk hepatitis B dan C umumnya selamat dan boleh diterima baik, beberapa kesan sampingan seperti sakit kepala, loya, keletihan atau ruam kulit mungkin berlaku.
Jika mengalami simptom sedemikian atau mempunyai kebimbangan untuk memulakan rawatan, awda dinasihatkan berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat lanjut.
NASIHAT UNTUK PESAKIT
Selain mengambil ubat yang ditetapkan, pesakit hepatitis dinasihatkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Ini termasuk:
• Mengamalkan diet seimbang
• Melakukan aktiviti fizikal secara berkala
• Melakukan ujian HIV
• Mengurangkan pengambilan alkohol
• Mendapat vaksin hepatitis B jika menghidap hepatitis C
• Membuat ujian hepatitis C jika menghidap hepatitis B
Pesakit juga perlu berunding dengan doktor sebelum mengambil sebarang ubat baharu, suplemen atau produk tradisional.
Selain itu, pesakit hepatitis perlu mengelakkan tingkah laku yang boleh menyebabkan penularan virus, termasuk berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, pisau cukur atau pemotong kuku, menderma darah, dan melakukan hubungan seksual tanpa perlindungan.
Kesimpulannya, pemahaman yang lebih baik tentang pelbagai aspek hepatitis dapat membantu individu dan masyarakat mengambil langkah proaktif untuk mencegah jangkitan, mendapatkan diagnosis awal dan rawatan yang bersesuaian.
Sebagai sebahagian daripada usaha global meningkatkan kesedaran, Hari Hepatitis Sedunia disambut pada 28 Julai setiap tahun.
Tema tahun ini, Let’s break it down, menekankan keperluan untuk mengatasi halangan dalam memahami hepatitis agar penyakit ini dapat diuruskan, dirawat dan akhirnya dihapuskan secara berkesan. – ANN/The Star

