Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Negara Brunei Darussalam terus melakar pencapaian penting dalam pelancongan pelayaran apabila kapal pelayaran, Heritage Adventurer berlabuh di Pelabuhan Muara hari ini, setelah berlepas dari Kuching, Malaysia.
Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Heritage Adventurer yang membawa seramai 212 penumpang itu merupakan kapal pelayaran antarabangsa kelima yang berlabuh di negara ini sekali gus mengetengahkan lagi reputasi negara sebagai destinasi pelayaran yang terkenal dalam peta global.
Semasa lawatan ringkas berkenaan, para pelancong telah ditawarkan pelbagai pakej lawatan yang menarik termasuk lawatan ke tempat-tempat tarikan ikonik seperti Muzium Alat Kebesaran Diraja, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Istana Nurul Iman dan Kampong Ayer.
Di samping itu, para pelawat juga berpeluang menerokai pelbagai pilihan barangan cenderamata tradisional Brunei yang ditawarkan di Pusat Kapal Pelayaran.
Menurut seorang penumpang dari United Kingdom (UK), Carol, menyatakan Brunei merupakan sebuah negara yang hebat dan beliau berhasrat untuk datang ke sini lagi bagi mengalami sendiri hidupan liar.
Sementara itu, Patricia yang juga pelawat dari UK mendapati lawatan pertamanya amat menarik dan mengongsikan pengalamannya di Kampong Ayer, masjid-masjid ikonik negara serta berpeluang menyaksikan secara dekat Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien.
Seorang lagi pelawat dari London, Paul mendapati Brunei sebuah destinasi yang mengagumkan dan bersih serta berkeinginan untuk melawat Taman Negara Ulu Temburong pada masa akan datang.
Negara Brunei Darussalam akan menyaksikan ketibaan tiga lagi kapal pelayaran tahun ini dengan kapal seterusnya dijangka tiba pada 28 November nanti.
Jabatan Kemajuan Pelancongan terus komited untuk membangun-kan pelancongan pelayaran di Brunei dan amat mengalu-alukan kehadiran lebih ramai pelawat pada masa akan datang.