Thursday, February 13, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hernan eksport 30,000 tan durian ke China

    BANGKOK, 30 MEI – Hernan Corporation Sdn Bhd, pengeluar rantaian sejuk terbesar Malaysia dan pengeksport utama durian Malaysia serta produk berilhamkan durian, menyasarkan untuk mengeksport 30,000 tan durian ke China dalam tempoh lima tahun akan datang.

    Pengarah komersialnya, Yang Hon Shung berkata permintaan terhadap durian Malaysia di China, terutamanya jenis Musang King dan Black Thorn atau Duri Hitam terus meningkat.

    “Tahun lepas sahaja, China mengimport 1.3 juta tan buah durian dengan permintaan dijangka meningkat sebanyak lima hingga enam peratus setiap tahun.

    “Selaras dengan rancangan pembesaran kami, kami telah menetapkan sasaran untuk mengeksport 30,000 tan durian dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi permintaan di China,” katanya kepada Bernama di acara Thaifex-Anuga Asia 2024 di Impact Arena.

    Yang berkata syarikat itu merancang melabur RM30 juta hingga RM50 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang untuk membina dua kilang tambahan di Malaysia.

    Mengenai had eksport, Yang memberitahu Malaysia pada masa ini hanya membenarkan eksport durian sejuk beku, manakala China mengimport terutamanya dari Thailand dan Vietnam.

    Bagaimanapun, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dengan China tahun ini, beliau berharap Malaysia akan mendapat kelulusan mengeksport durian segar menjelang akhir tahun.

    “Kami berharap sebaik sahaja kami dibenarkan mengeksport durian segar, jumlah eksport kami akan meningkat,” katanya.

    Pada masa ini, Hernan Corp mengeksport ke 22 negara termasuk Australia, China (Hong Kong dan Macau), Taiwan, Singapura, Vietnam, Kesatuan Eropah, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan pelbagai negara di Timur Tengah. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda