Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hernandez bantu Columbus mara ke separuh akhir

    NEW YORK, 2 NOV – Cucho Hernandez menjaringkan dua gol apabila Columbus Crew menewaskan Atlanta United 2-0 dalam perlawanan pembukaan siri playoff Major League Soccer (MLS) Eastern Conference terbaik mereka semalam.

    Penyerang antarabangsa Colombia, Hernandez membawa jumlah gol untuk musim ini sebanyak 18 gol dalam semua pertandingan dengan persembahan dominan di Padang Lower.com Crew.

    Kemenangan itu meletakkan pilihan ketiga Columbus sebagai pilihan utama untuk mara ke separuh akhir MLS Eastern Conference dalam saingan pasca-musim MLS.

    Columbus kini hanya satu langkah sahaja untuk memastikan tempat mereka dalam empat terbaik dan mereka boleh melakukannya dengan memenangi perlawanan kedua siri itu di Atlanta minggu depan.

    Berdasarkan prestasi semalam, Columbus akan memasuki perlawanan timbal balik Selasa depan dan yakin akan mara terutamanya dengan mendominasi pasukan Atlanta yang kehilangan khidmat pemenang Piala Dunia Argentina, Thiago Almada, digantung daripada bermain.

    Aksi Hernandez semasa separuh masa kedua perlawanan playoff MLS, di Columbus, Ohio. – AP

    Pemain bintang Crew dan bekas pemain Watford, Hernandez, menjadi ancaman serius kepada pertahanan Atlanta, sebelum berjaya memecah kebuntuan dan membuka jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

    Serangan balas yang pantas menyaksikan Hernandez merampas bola tepat di kawasan pasukan Atlanta, mendorong pemain berusia 24 tahun itu meluru ke arah gawang. Pemain Colombia itu berjaya mengelak daripada percubaan lemah pertahanan Atlanta, Ronald Hernandez, sebelum melepaskan rembatan kencang yang akhirnya melepasi penjaga gol Brad Guzan dan masuk ke gawang.

    Columbus kemudiannya dihadiahkan dengan sepakan penalti pada minit ke-51 selepas satu cabaran yang agak kasar daripada Ronald Hernandez yang mengakibatkan pemain sayap Romania, Alexandru Matan, terjatuh di dalam kotak penalti.

    Cucho Hernandez dengan yakin mara ke hadapan dan mengambil sepakan penalti yang menjadikan kedudukan 2-0 kepada Columbus.

    Hernandez hampir mencipta jaringan hatrik pada masa kecederaan pada separuh masa kedua, tetapi Guzan berjaya menyelamatkan rembatan Hernandez yang meluru dekat tiang gol. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda