Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    ‘Hero’ petani muda berazam tarik belia jadi pesawah

    Oleh Muhammad Basir Roslan –

    KUALA LUMPUR – Diangkat sebagai ‘hero’ petani muda oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Mohd Amirul Idris beriltizam untuk menarik lebih ramai belia menceburi bidang penanaman padi di negara ini dengan menjadikan dirinya sebagai ‘bukti’ bahawa sektor itu mampu memberikan hasil lumayan.

    Lebih mesra dipanggil Yon, pesawah moden berusia 36 tahun ini mula bergelumang lumpur bendang ketika berusia 18 tahun semasa menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    “Saya baru sahaja selesai menduduki SPM pada 2004, dan tidak ingin hanya duduk di rumah, saya mengambil inisiatif membantu penduduk kampung dengan bekerja di sawah mereka.

    Lama-kelamaan, minat dan cinta saya semakin mendalam untuk terus menceburi perusahaan sawah padi ini.

    “Daripada upah kerja sambilan yang saya lakukan kira-kira setahun, saya berjaya kumpul modal permulaan untuk membuka tiga relung (0.953 hektar) sawah padi. Ketika itu kadar sewa satu relung hanya sekitar RM400,” kongsinya ketika dihubungi Bernama.

    Mohd Amirul Idris ‘Yon’ di sawah padi miliknya. – Bernama
    Mohd Amirul Idris ‘Yon’. – Bernama
    Melalui hasil jualan padi Yon berjaya membeli empat buah traktor, dua buah lori serta sebuah dron penyembur. – Bernama

    Lapan belas tahun berlalu, beliau kini mengusahakan 30 relung sawah di Kampung Alor Rela, Langgar, Kedah, dan julukan ‘hero’ petani muda itu datang daripada kejayaannya yang telah beberapa kali menerima pengiktirafan MADA dari segi pengeluaran hasil tertinggi.

    KUDRAT ORANG MUDA

    Mengimbau kembali keputusannya untuk menjadi pesawah, Mohd Amirul yang merupakan satu-satunya petani dalam keluarga, berkata pemerhatiannya semasa membantu penduduk kampung meracun dan membaja sawah padi mereka mendapati sekitar 70 peratus pesawah di tempat beliau adalah warga tua.

    “Golongan ini sudah kurang kudrat dan kalau bersawah pun hasil hanya sekitar tiga hingga empat tan sehektar bagi setiap musim.

    Kalau orang muda macam saya, jika buat betul-betul, boleh dapat hasil 9.0 hingga 9.5 tan sehektar,” katanya yang percaya masalah sama turut berlaku di kawasan lain.

    Beliau bukan bercakap kosong kerana daripada hasil jualan padinya pesawah muda ini berjaya memperoleh empat buah traktor, dua buah lori serta sebuah dron penyembur racun dengan kos keseluruhan RM350,000.

    “Ini adalah pelaburan untuk saya tingkatkan pengeluaran padi serta mempercepat pergerakan hasil tuaian kepada pembekal,” ujarnya.

    Bagi memastikan pulangan yang memuaskan, beliau menggunakan benih padi daripada baka berkualiti tinggi, iaitu MR219 dan MR297.

    Hasilnya, sawah beliau berjaya mengeluarkan hasil kira-kira sembilan tan sehektar pada setiap musim.

    Mohd Amirul yang menanam padi dua kali setahun, berkata secara purata beliau meraih pendapatan sekitar RM6,000 sebulan.

    BERMANDI KERINGAT

    Tidak kisah bermandi keringat di bawah sinar matahari, bapa kepada seorang anak itu berkata beliau memulakan kerja sekitar 7 pagi dan hanya pulang selepas lewat petang.

    Mengakui bekerja sebagai petani “tidak berkesudahan”, Mohd Amirul berkata selepas selesai menanam anak padi, rutin beliau ialah melakukan kerja-kerja penjagaan termasuk membaja dan meracun selain memastikan tanaman terpelihara daripada penyakit padi bawaan kulat, bakteria dan makhluk perosak.

    “Penyakit karah padi antara ancaman utama (pesawah) yang berpunca daripada serangan kulat jenis Pyricularia oryzae.

    “Kulat ini boleh menyerang tanaman padi sehingga membuatkan daun pokok padi terdapat simptom berbintik diamond dan mampu mengurangkan mutu hasil padi, sekali gus membawa kerugian besar kepada pesawah,” ujarnya.

    Selain itu, golongan petani juga berdepan risiko bencana alam dan Mohd Amirul berkata antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah kejadian banjir yang berlaku pada 2010.

    “Masih segar dalam ingatan ketika peristiwa itu berlaku. Saya bagaikan hendak pengsan akibat kehilangan sumber pendapatan utama bagi menyara keluarga.

    Mana tidaknya, sawah padi seluas empat hektar yang diusahakan selama ini habis musnah tidak tersisa dan terpaksa dibuat penanaman semula,” kongsinya, menambah bencana itu menyebabkan beliau kerugian lebih RM20,000.

    Namun, katanya kejadian itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berkecimpung dalam dunia pertanian.

    BANTU PERKASA INDUSTRI PADI

    Sementara itu, Pengerusi MADA Datuk Dr. Ismail Salleh ketika dihubungi, berkata pihaknya sentiasa berusaha menyumbangkan ilmu dan tenaga berkaitan amalan penanaman padi serta penggunaan teknologi kepada sebahagian besar petani.

    MADA bertanggungjawab menguruskan Kawasan Muda, iaitu jelapang padi terbesar negara dengan keluasan 143,553 hektar.

    Daripada jumlah itu, 100,641 hektar merangkumi kawasan penanaman padi di Kedah dan Perlis. Setakat ini, terdapat 54,886 pesawah di bawah agensi itu.

    “Bagi menguruskan jelapang padi sebesar ini yang menjadi penyumbang hampir 40 peratus pengeluaran padi negara setahun, MADA sentiasa komited melakukan pelbagai program peningkatan hasil padi yang turut berdepan ancaman berterusan seperti persaingan guna tanah dengan sektor sosioekonomi lain termasuk perindustrian dan perumahan.

    “Antara fokus utama kami ialah pelaksanaan Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) yang merupakan inisiatif MADA dan kerajaan bagi membantu meningkatkan hasil melalui pengurusan secara berpusat dalam skala yang besar selain mengurangkan kos pengeluaran padi,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...