KUALA LUMPUR, 19 OGOS – Ketua jurulatih beregu lelaki Malaysia, Herry Iman Pierngadi menggunakan analisis rakaman video bagi memperhalusi strategi untuk pemain kebangsaan menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris bermula 25 Ogos ini.
Beliau berkata pendekatan itu membantunya mengenal pasti kelebihan dan kekurangan bukan sahaja pasangan lawan tetapi juga kelemahan anak buahnya sendiri untuk diperbaiki sebelum turun ke gelanggang.
“Biasanya saya menggunakan analisis video dan berbincang bersama pemain dalam merangka pelan strategi berdepan pihak lawan dan dari situ kita dapat lihat di mana aspek yang perlu diperbaiki. Ini cara kita mencari perbezaan kecil yang menentukan kemenangan pada hari perlawanan.
“Namun, tidak boleh menggunakan (video) analisis yang sudah lama kerana pemain boleh berubah melalui latihan, jadi kita perlu lihat yang terkini seperti di Terbuka Jepun dan Terbuka China bulan lepas,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di Kuala Lumpur hari ini.
Kejohanan Badminton Dunia 2025 menyaksikan Malaysia menurunkan pasangan teramai membabitkan empat beregu lelaki menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King serta pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. – Bernama









