Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Herstory’ cerita sejarah melalui kaca mata wanita Britain

    Gambar AFP

    LONDON – Daripada bintang opera yang penuh dengan perhiasan berlian kepada seorang janda muda yang tidak berduit dengan seorang anak kecil di Britain pada abad ke-19, gelombang ‘herstories’ baharu mengetengahkan suara wanita yang suatu masa dahulu pernah diabaikan atau dipadamkan oleh sejarah.

    Rumah Opera Diraja, United Kingdom dan badan amal warisan National Trust adalah antara organisasi yang menyelami masa lampau untuk menceritakan kisah kehidupan yang dilupakan sebelum ini.

    Di dewan opera Covent Garden di London, pelawat kini boleh melihat versi ‘herstory’ teater itu sendiri dalam lawatan yang meraikan usaha kebanyakan wanita yang dilupakan.

    Komposer abad ke-19, Ethel Smyth terpaksa mengugut untuk melarikan diri dari rumah semata-mata mahu memujuk keluarganya membenarkannya belajar muzik.

    Selepas berjaya memujuk keluarganya dan menghadiri Konservatori Leipzig di Jerman, dia mencipta kejayaan besar dengan ‘Mass in D’nya.

    Seorang pengunjung melihat patung kepala penyanyi opera abad ke-19 dari Itali, Adelina Patti, semasa berjalan-jalan di Rumah Opera Diraja di Covent Garden, London.
    Seorang pengunjung melihat kasut balet yang dipamerkan.
    Seorang pengunjung melihat pameran miniatur semasa berjalan-jalan di Rumah Opera Diraja di Covent Garden, London.
    Gambar fail bertarikh 27 Januari 2023 menunjukkan bangunan Rumah Opera Diraja di Covent Garden, London.
    Seorang pemandu pelancong bercerita semasa lawatan di Rumah Opera Diraja di Covent Garden, pusat London, baru-baru ini.

    “Orang ramai sangat menyukainya tetapi dia terpaksa bertarung dengan pengkritik dan juga beberapa pemuzik yang enggan bekerja dengan seorang wanita,” kata pemandu pelancong Rumah Opera Diraja, Amandine Riche.

    Di sebalik pujian itu, Smyth mendapati dirinya dituduh ‘tidak layak’ jika dia menghasilkan karya-karya yang biasanya dikaitkan dengan lelaki seperti ‘Mass in D’, atau ‘ringan dan remeh’ jika dia mengehadkan dirinya pada ‘muzik bilik’ sahaja, katanya.

    Bintang yang dilupakan

    Komposer, Giuseppe Verdi memberi penghormatan kepada seorang lagi pemuzik wanita yang telah lama dilupakan, Adelina Patti, sebagai penyanyi terhebat yang pernah didengarinya.

    Seorang bintang antarabangsa yang terkenal pada zamannya, dia mengenakan bayaran hari ini yang bersamaan AS$100,000 untuk satu persembahan dan pernah tampil dengan memakai gaun yang dilitupi 3,700 berlian yang bernilai AS$23 juta.

    Pegawai dari balai polis Bow Street berhampiran yang kini telah ditutup terpaksa berpakaian sebagai pelakon tambahan dan naik ke atas pentas untuk mengawasinya semasa persembahan.

    Tetapi bukan sahaja kehidupan wanita kaya dan terkenal yang telah diketepikan oleh naratif sejarah yang dipengaruhi oleh kaum lelaki.

    Sempena Hari Wanita Antarabangsa baru-baru ini, National Trust Britain menceritakan kisah beberapa pekerja wanita biasa yang hidupnya telah tergelincir ke dalam kegelapan.

    Badan pemuliharaan terbesar di Eropah itu telah membuat penyelidikan ke atas wanita yang tinggal dalam kelompok rumah abad ke-19, kini dipelihara dan dipulihkan, di tengah-tengah Birmingham, England.

    Rumah-rumah tersebut adalah satu-satunya warisan yang bertahan daripada pembangunan semula besar-besaran pusat bandar pada tahun 1960an.

    “Ia adalah peluang untuk menceritakan mengenai orang yang jarang kita dengar tetapi mereka adalah orang sebenar yang pernah tinggal di rumah-rumah ini,” kata jurucakap National Trust, Sophie Flyn.

    Pengunjung boleh berjalan melalui halaman berbatu tempat wanita-wanita itu biasanya menjemur cucian mereka dan memandang ke dalam bilik-bilik tempat mereka tinggal dan tidur.

    Kehidupan sebenar

    “Awda akan mendapat gambaran sebenar bagaimana mereka menjalani kehidupan pada masa dahulu,” kata Flyn.

    Salah seorang wanita yang pernah tinggal di sana ialah balu Eliza Wheeler, yang mengusahakan gerai di pasar, dan anak perempuannya Sarah.

    “Menjadi balu dan meninggalkan anak-anak semasa era Victoria, itu pasti mencabar tetapi entah bagaimana dia berjaya,” tambah Flyn.

    Maria Beadell, pengasas Herstorical Tours London, berkata terdapat minat yang semakin meningkat untuk mempelajari sejarah daripada perspektif wanita.

    Lawatan lakonan semula sejarah pertamanya, yang dilancarkan pada 2021, memfokuskan kepada ahli sihir London. Lakonan semula tersebut menjadi sangat popular sehingga tahun lalu dia menambah siri yang kedua yang menceritakan mengenai kisah pekerja seks di ibu negara pada abad ke-18.

    Beadell berkata bahawa tidak seperti raja atau wanita bangsawan lain, cerita wanita biasa London sebahagian besarnya telah ‘dipadamkan daripada sejarah’.

    Lawatannya menceritakan mengenai kisah Marjery Jourdemayne, seorang bidan yang dituduh melakukan sihir dan telah dibakar hidup-hidup di kayu pancang pada tahun 1441, dan Sally Salisbury, seorang pelacur abad ke-18 yang dipenjarakan kerana menikam salah seorang kekasihnya.

    “Begitulah keadaan dunia selama lebih 2,000 tahun, suara lelaki telah menjadi dominan, namun mereka ini adalah orang sebenar yang pernah hidup,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda