Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hetty Koes sudah penat buat konsert

    Penyanyi legenda Indonesia Hetty Koes Endang mahu berehat dan enggan lagi mengadakan konsert pada masa akan datang.

    Kata Hetty, 67, sepanjang penglibatannya sebagai anak seni dia sudah terlibat dengan puluhan konsert selain menghasilkan sebanyak 150 buah album.

    Justeru baginya dia lebih gembira melihat perjalanan artis muda yang kini semakin ramai mula mencipta nama dalam industri seni.

    “Saya sudah 53 tahun dalam dunia hiburan, saya sudah penat. Bagilah kesempatan kepada orang muda dan biarlah saya jadi pemerhati sahaja.

    “Apa lagi yang saya mahukan? Saya telah lakukan semuanya sepanjang kerjaya,” katanya.

    Hetty hanya mahu terlibat dengan acara amal. – mStar

    Hetty bercakap demikian ketika sesi bertemu media Malaysia yang berlangsung secara atas talian sempena mempromosikan konsert After Hours With Hetth Koes Endang (AHHKE).

    Bagaimanapun menurut penyanyi lagu Kasih itu dia sedia menerima undangan menyanyi sekiranya ia melibatkan program kebajikan.

    “Saya hanya menolak konsert yang berbentuk komersial sahaja. Jika acara amal saya masih boleh terima.

    “Perkara itu lebih membuatkan saya rasa senang. Ia juga merupakan satu tanggungjawab apabila terlibat dengan acara sebegitu,” jelasnya.

    Sementara itu berkongsi tentang rahsia dia terus menjaga stamina dalam nyanyian, kata Hetty semua itu datang dari hati sendiri selain sentiasa menjaga kesihatan diri.

    “Semua itu datang dari hati. Apa yang penting adalah tetap terus berkarya kerana itulah yang akan membuatkan kita sentiasa ada dalam industri ini,” jelasnya memetik laporan mStar.

    Konsert AHHKE bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor pada 24 Februari nanti.

    Pada malam berkenaan penyanyi Naqiu turut tampil membuat persembahan dan mereka bakal menghiburkan peminat dengan beberapa lagu duet. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda