Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Heung-min terlepas aksi separuh akhir Liga Eropah

    LONDON, 1 MEI – Kapten Tottenham Hotspur, Son Heung-min akan terlepas perlawanan pertama separuh akhir Liga Eropah Tottenham menentang Bodo/Glimt hari ini, kata pengurus Ange Postecoglou.

    Kapten kelab itu tidak beraksi untuk Spurs sejak seri 1-1 dengan Eintracht Frankfurt pada 10 April akibat kecederaan kaki.

    Postecoglou telah menyatakan harapan minggu lalu bahawa penyerang Korea Selatan itu boleh kembali untuk kunjungan pasukan Norway.

    “Son tidak akan bermain malam esok. Dia kini sedang menjalani latihan tetapi masih belum bersama kumpulan utama. Keadaannya semakin baik dan kami berharap dia dapat kembali dalam masa terdekat,” kata Postecoglou.

    Son telah menjaringkan 11 gol dalam 43 penampilan, namun belum mencetak gol daripada permainan terbuka sejak 23 Januari.

    Spurs mengalami kekalahan ke-19 kepada Liverpool, 5-1 dalam di Liga Perdana Inggeris pada Ahad.

    Kekalahan itu menyebabkan mereka merosot di tangga ke-16 – pencapaian terburuk sejak penyingkiran dari liga utama pada 1977. Bagaimanapun, mereka telah disahkan terselamat daripada penyingkiran musim ini. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda