BERLIN, 2 Nov – Bayern Munich sekali lagi mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, tetapi ketua jurulatih Jupp Heynckes mengakui bahawa mana-mana harapan untuk menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan teratas adalah ‘angan-angan’.
Tandukan lewat Javi Martinez telah menjulang Bayern ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara buat 10 musim berturut-turut dengan kemenangan 2-1 ke atas Celtic di Parkhead kelmarin.
“Keutamaan adalah mara ke peringkat kalah mati, yang sudah kami lakukan, apa sahaja fikiran atau harapan selain itu adalah angan-angan. Ia adalah sukar untuk menamatkan di kedudukan teratas,” kata Heynckes. Bayern dan pendahulu PSG sudah memastikan kemaraan mereka dari Kumpulan B selepas keputusan kelmarin.
PSG mempunyai rekod sempurna dari empat perlawanan dengan 17 gol dan tanpa bolos, termasuk kemenangan 3-0 ke atas Bayern di Parc de Princes pada bulan September, yang menyebabkan bekas jurulatih Bayern, Carlo Ancelotti dipecat.
Jika Bayern menang di Anderlecht dalam tempoh tiga minggu akan datang, dan PSG juga menewaskan Celtic di laman sendiri, perlawanan terakhir kumpulan Disember nanti akan menyaksikan Bayern menerima kunjungan PSG di Allianz Arena, mungkin merebut kedudukan teratas. – AFP