Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hias dalaman masjid sempena ulang tahun ke-10

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Sebagai salah satu projek sempena Sambutan Ulang Tahun ke-10 Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (MSSBRPAD) Kampung Manggis, Madang, satu majlis menandatangani kontrak bagi projek hiasan dalaman telah berlangsung hari ini di masjid berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan penandatanganan kontrak tersebut di antara Jawatankuasa Takmir MSSBRPAD dan Yayasan Restu Malaysia itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, yang juga selaku Penasihat Jawatankuasa Takmir MSSBRPAD.

    Projek tersebut merupakan usaha untuk menghiasi keempat-empat dinding dalam masjid dan bahagian pintu hadapan masuk ke masjid berkenaan dengan ayat-ayat Al-Quran, Asmaul Husna dan kalimat zikir.

    Kontrak itu ditandatangani oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Nuzuli bin Haji Jumaat, selaku Pengerusi Jawatankuasa Takmir MSSBRPAD, dan disaksikan oleh Penasihat Lembaga Takmir Masjid, Dato Paduka Haji Mohd Said bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim.

    Manakala Yayasan Restu Malaysia pula ditandatangani oleh Ahli Pemegang Amanah Yayasan Restu@Nasyrul Quran, Mohd Shafizal bin Abdul Hameed, dan disaksikan oleh Ketua Jabatan Kraft Yayasan Restu, Zanuar bin Ahmad.

    Pertukaran dokumen di antara kedua belah pihak sambil disaksikan oleh tetamu kehormat majlis. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Jumlah bagi projek tersebut telah menelan belanja $226,250 dan dijangka boleh disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

    Jawatankuasa takmir masjid bekerjasama erat dengan Yayasan Restu bagi melahirkan konsep hiasan dalaman tersebut khususnya dalam mengenalpasti dan memilih motif-motif tempatan yang relevan dan signifikan dengan masjid ini menjadikannya ciri yang unggul.

    Projek itu akan dibiayai sepenuhnya oleh jawatankuasa takmir masjid, di samping telah mendapat kebenaran daripada Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam untuk mendapatkan tajaan projek hiasan dalaman masjid selama satu tahun bermula 24 April 2024.

    Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk merebut peluang bagi melabur saham akhirat dengan menyumbang kepada projek hiasan dalaman itu yang boleh terus diserahkan kepada ahli Jawatankuasa Takmir iaitu Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maun di nombor talian 8759353 atau Haji Mohin bin Mohd Jaafar, di talian 7206167.

    Orang ramai juga membayar secara dalam talian melalui Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) No Akaun 00-001-01-0180750, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit.

    Pameran Hiasan Dalaman MSSBRPAD turut diadakan di dewan masjid itu pada 11 dan 12 Jun bagi memberi peluang orang ramai untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi keterangan tentang hiasan dalaman tersebut.

    Kemudian dari tarikh tersebut, pameran akan dipindah dan ditempatkan ke ruang masjid mulai 12 Jun.

    Para jemaah masjid dan orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyaksikan pameran tersebut dan seterusnya menyumbang dan menginfak seangkat-angkat hati sebagai pelaburah saham akhirat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda