Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Hiasan inovatif daripada sumber mampan

    NEW YORK – Sekali pandang, pendakap lampu dan candelier rekaan Nina Edwards Anker kelihatan seperti skrol manuskrip kulit lama, atau kertas gula-gula perisa mentega, membalut mentol lampu LED.

    Namun apabila diamati lebih dekat – atau apabila bertanyakan pereka atau arkitek di New York – awda akan mendapati ia sebenarnya diperbuat daripada alga.

    Beliau mengemukakan idea itu ketika menjalankan projek penyelidikan kedoktoran mengenai bahan-bahan dan lampu di Sekolah Seni Bina dan Reka Bentuk Oslo, dan kini telah menghasilkan koleksi pendakap lampu, lampu malah candelier bernama ‘Chlorophyta.’

    Anker memilih tidak menyembunyikan alga kering – warnanya mempunyai banyak kekurangan berbanding keadaan semula jadi dan warna kuning madu lut sinar.

    “Dari awal, kami ingin mengekalkan integriti bahan, dan mempamerkan ciri-cirinya yang unik,” kata Anker.

    Gambar menunjukkan corak jubin dapur rekaan Annie Hall, diperbuat daripada campuran jubin kaca sinter di sebuah rumah di Medford. – AP

    Kombinasi gambar serahan Studio NEA menunjukkan candelier yang dibuat daripada alga kering oleh pereka Nina Edwards Ankers. – AP
    Kombinasi gambar serahan Studio NEA menunjukkan pendakap lampu dibuat daripada alga kering hasil ciptaan pereka Nina Edwards Anker. – AP
    Fabrik pelbagai warna yang diperbuat daripada kaktus. – AP
    Gambar serahan Marte Cazarez menunjukkan daun kaktus di atas fabrik, alternatif vegan kepada kulit yang dibuat daripada kaktus. Daun dipetik setiap 6 bulan tanpa merosakkan tumbuhan itu. – AP

    Dia adalah seorang daripada kebanyakan pereka yang memikirkan di luar konsep tradisional, mencari kaedah untuk menggabungkan reka bentuk dengan sumber dan kaedah pengeluaran yang mampan.

    Anker dan kumpulannya di NEA Studio juga sedang mencuba bahan semula jadi yang lain. “Untuk lampu, kami berminat dalam alga warna merah atau jingga, bulu pelepah yang diperoleh secara mampan, cangkerang belangkas dan kulit siput hancur, serta getah yang dibuat daripada lebihan jagung,” katanya. 

    “Untuk perabot, terdapatnya bahan organik seperti kacang lentil, gandum kuda dan isi lain untuk hiasan perabot, selain rotan, gabus dan buluh asli.”

    Kemajuan besar telah dicatat dalam usaha menukar botol plastik kitar semula, kayu dan gentian tumbuhan kepada bahan yang boleh digunakan oleh industri fesyen dan kelengkapan rumah, yang cuba mengatasi kesan alam sekitar negatif penghasilan kapas, pencemaran plastik dan banyak lagi.

    Pesta Heimtextil, mempamerkan segala yang baharu dalam corak dan pembangunan tekstil global, dibuka pada minggu ini di Frankfurt, Jerman, dengan tumpuan pada proses mengitar semula bahan untuk menghasilkan produk baharu dalam cara yang lebih mesra alam.

    “Kami melihat syarikat menunjukkan bagaimana bahan bukan organik seperti nilon, plastik dan besi boleh digunakan semula – misalnya, jubin hamparan yang boleh dibuka pada akhir kitaran hayat dan digunakan sebagai bahan mentah untuk jubin baharu,” ujar Olaf Schmidt, Naib Presiden tekstil dan teknologi tekstil Heimstil.

    Yang lainnya sedang ber-usaha mengitarkan semula bahan organik seperti linen dan rafia.

    “Juga terdapatnya rumpai laut, digunakan untuk menghasilkan alas dan panel akustik yang boleh dijadikan bahan penebat yang baik, kalis api dan mengawal kelembapan dengan baik,” ujar Schmidt. 

    “Pada akhir jangka hayat, panel tersebut boleh dicarik dan digunakan semula.”

    Pada pameran musim panas lalu, bahan inovatif termasuk gabus dan gentian botol plastik PET yang dikitar semula.

    “Gabus mempunyai ciri-ciri boleh bernafas, tidak menimbulkan alahan, antibakteria, menebat dan lasak,” kata Schmidt, menambah ia boleh diperoleh secara lebih mampan berbanding bahan lain.

    Produk hiasan rumah yang diperbuat daripada gabus termasuk dulang, meja, panel dinding dan lampu. Awda boleh membeli gulungan gabus bercorak Portugal di Etsy.com, misalnya.

    Gabus juga dikisar dan digunakan pada fabrik untuk mewujudkan kulit vegan lembut yang digunakan oleh sesetengah pereka fesyen untuk membalut kerusi dan sofa, sementara yang lainnya memprosesnya menjadi jaket, seluar, topi, beg dan payung. Contohnya, Svala menghasilkan beg tote, beg dan dompet yang dibuat daripada fabrik berasaskan gabus.

    “Trend paling penting adalah kemapanan,” kata penganalisis industri fesyen, Veronica Lipar. “Industri berusaha untuk mengurangkan impak ke atas alam sekitar dan tidak lagi menjadi pencemar terbesar.”

    Patagonia, North Face dan Timberland adalah antara syarikat yang kini menggunakan bahan semula jadi daripada sumber boleh jana semula.

    Botol PET yang boleh dikitar semula sedang menjalani proses untuk diubah kepada jaringan yan bergelar Hydroknit oleh pembuat kasut Kanada, Native Shoes, kasut dan but ringan yang digelar oleh syarikat ‘baju panas untuk kaki awda.’

    Jenama Itali Kampos menawarkan pakaian renang dan baju hujan yang diperbuat daripada yan filamen botol PET yang cepat kering dan lembut.

    Yan itu sendiri dijual mengikut bebola di kedai Unique Yarn di Etsy. Ringan, mudah meregang dan teguh, ia boleh dikait, dikrusye dan ditenun menjadi produk seperti beg tote atau seni tekstil.

    Contoh usaha sama lain termasuk Syarikat Itali Frumat telah membangunkan kulit berasaskan tumbuhan yang diperoleh daripada sisa buangan yang direka oleh pembuat jus epal.

    Dua pencipta Mexico, Adrian Lopez Velarde dan Marte Cezarez, telah menghasilkan kulit yang diberi nama ‘Desserto’ menggunakan daun kaktus Nopal. Kaktus merupakan bahan baharu yang menjadi tumpuan pencipta disebabkan ia mampu bertahan kemarau, haba dan tanah yang tidak subur.

    Pinatex membantu menyokong komuniti perladangan di Filipina dengan memanfaatkan sisa buangan daripada buah nanas untuk menghasilkan bahan yang dijual kepada pembuat kasut, aksesori, pakaian dan upholsteri.

    Manakala Bolt Thread di California menghasilkan Mylo, sejenis kulit berasaskan miselium yang digunakan oleh jenama seperti Adidas, Lululemon dan Stella McCartney.

    Akhirnya, sesetengah jubin dinding kaca yang digunakan di rumah memulakan hayatnya dalam kereta. Syarikat-syarikat telah menghancurkan cermin depan yang dibuang, seterusnya membakar campuran tersebut. Sluri serbuk itu menjadi bahan yang kuat dipanggil kaca sinter.

    “Kaca sinter adalah satu daripada empat produk jubin utama sekarang. Terdapat pelbagai warna menarik dan ketahanan berprestasi tinggi,” kata Ted Acworth, pengasas pengeluar jubin mozek, Artaic yang berpangkalan di Boston. 

    Annie Hall, pereka di Cambridge, Massachusetts, menggunakan campuran jubin kaca dalam projek dapurnya.

    “Saya sentiasa berharap dapat mencari produk yang dihasilkan secara mapan untuk projek reka bentuk saya dan gembira kaca sinter memenuhi matlamat itu,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...