Oleh Amri HTZ –
Jika ada lebihan kayu hasil daripada projek sebelumnya awda bolehlah manfaatkannya untuk projek seterusnya.
Namun lambakan kayu berukuran kecil pada kebiasaannya akan dijadikan kayu api disebabkan ukurannya yang tidak menepati keperluan.
Sebagai salah satu cara, apa kata awda gunakannya untuk mencipta rekaan panel berkonsepkan acoustic diffuser. (Gambar 1)
Persiapan awal diperlukan
• Mesin circular saw
• Gergaji kayu
• Papan
• Mesin orbital sander
• Gam silikon
• Papan lapis
• Wood stain
• Pita pengukur
• Alat pengapit kayu
SUKAT DAN POTONG
Memandangkan kepingan papan yang akan digunakan dalam projek ini merupakan yang terpakai, sebelum memulakan proses pemotongan menjadi bahagian-bahagian kecil, bersihkan permukaannya daripada sebarang paku, skru atau stapler.
Ini bagi memastikan bilah mesin tidak terjejas semasa proses pemotongan yang akan menjadikannya tumpul atau boleh menyebabkannya menjadi bahaya (tercampak) jika disebabkan putaran bilah. (Gambar 2)
Papan lapis tersedia yang akan dijadikan latar rekaan kemudiannya dipotong dengan ukuran 178 sentimeter (cm) x 57cm. Mesin circular saw akan digunakan bagi mempercepatkan langkah pemotongan. Dalam memastikan potongan lurus, sebatang kayu akan dijadikan panduan ketika menyorongkan mesin yang ditetapkan menggunakan alat pengapit kayu. (Gambar 3)
Kepingan papan yang telah dibersihkan sebelumnya kemudiannya dipotong dengan ukuran 60cm x 9.5cm untuk dua batang, 60cm x 4.8cm (dua batang), 40cm x 9.5cm (sebatang) dan 40cm x 4.8cm (dua batang). Kayu-kayu ini akan dijadikan rangka sokongan dan penggantung bahagian belakang rekaan. (Gambar 4)
RATAKAN PERMUKAAN KAYU
Dalam memastikan permukaan rekaan benar-benar rata yang penting ketika kepingan kayu kecil dan rangka sokongan dicantum rata, gosok permukaan papan menggunakan kertas pasir berukuran 120 grit. Menggunakan mesin orbital setentunya mempercepat proses namun melakukannya secara manual juga mampu memberikan hasil akhir yang sama. (Gambar 5)
Papan khusus rangka sokongan kemudiannya akan dicantumkan pada bahagian belakang rekaan. Sapukan permukaan cantuman menggunakan gam kayu dan tetapkan kedudukannya menggunakan skru. Pastikan skru digunakan tidak terlalu panjang sehingga menembusi bahagian depan. Kayu 60cm x 4.8cm (dua batang) untuk bahagian bawah, 40cm x 9.5cm (sebatang) bagi bahagian tengah dan 40cm x 4.8cm (dua batang) untuk bahagian kiri dan kanan. (Gambar 6)
Sementara kayu 60cm x 9.5cm pula akan dibelah dua pada bahagian tengahnya dengan sudut 45 darjah berfungsi sebagai penggantung rekaan. Ketika kayu bahagian bawah ditetapkan pada dinding sesebuah ruang, rekaan hanya perlu disangkutkan pada penggantung memandangkan bentuknya interlocking. (Gambar 7)
POTONG PAPAN JADI BAHAGIAN KECIL
Papan-papan terpakai tersedia kemudiannya akan dipotongkan dengan ukuran 3cm x 3cm, 6cm x 6cm, 9cm x 9cm dan 12cm x 12cm. Ukuran-ukuran ini dipilih bagi menyesuaikan ukuran papan lapis (latar rekaan) bagi memudahkan blok-blok kayu disusun rata.
Ketebalan papan pula bebas bagi memastikan kedudukannya tidak setara secara keseluruhannya. (Gambar 8)
Memandangkan kepingan papan akan diwarnakan dengan wood stain berwarna gelap kesemuanya, awda boleh melakukan langkah mewarnakannya sama ada setelah papan terpotong mahupun sebelum dipotongkan. Namun pastikan bahagian belakang papan tidak diwarnakan memandangkan ia perlu dicantumkan dengan latar rekaan kerana ia boleh menghalang gam untuk melekat dengan kukuh. (Gambar 9)
Setelah kesemua bahagian tersedia, kini awda hanya perlu melekatkan kepingan papan tersebut pada permukaan papan lapis menggunakan gam silikon. Susun secara berselang-seli dari segi ukuran bagi memberikan keunikan pada rekaan. (Gambar 10)
Langkah terakhir ialah melekatkan kayu penggantung pada permukaan belakang rekaan dan dinding. Bagi memastikan kedudukannya selaras, lekatkan bahagian bawah (kayu penggantung) menggunakan pita perekat secara sementara dan ukur kedudukannya bagi mendapatkan ukuran tepat. Kekalkan kayu bahagian bawah menggunakan skru pada dinding bagi membolehkan awda menggantungkannya. Selamat mencuba! (Gambar 11)
Tip rekaan
• Bagi memastikan potongan kayu kecil (3cm x 3cm) tidak terlalu ‘tenggelam’ dalam rekaan, ketebalannya amat memainkan peranan berbanding kayu berukuran besar.
• Selain menggunakan wood stain berwarna gelap, membakar permukaan kayu menggunakan blow torch juga boleh dilakukan.