Gambar ANN/Japan News
JEPUN – Membuat skaf dan sweater bukanlah sesuatu yang baru bagi golongan muda, tetapi membuat permaidani menggunakan kaedah tufting merupakan hobi yang agak baharu. Benang warna-warni dapat digunakan untuk mereka bentuk permaidani seperti karya seni pop. Mempunyai sesuatu yang unik di rumah awda dapat memberikan kehangatan di saat hari sejuk.
Tufting merupakan kaedah pembuatan lama yang telah menjadi popular di luar negara menerusi media sosial dalam beberapa tahun kebelakangan, dan ia juga telah sampai ke Jepun.
“Mudah untuk membuat permaidani apabila awda mempunyai reka bentuk dalam minda,” kata Kumpei Nakatake, ketua KEKE, sebuah studio berpangkalan di Tokyo yang menawarkan bengkel tufting.
Proses pembuatan permaidani menerusi kaedah tufting
Langkah pertama dalam membuat permaidani adalah menggunakan projektor untuk memaparkan reka bentuk atau imej yang awda ingin ciptakan pada sehelai kain yang ditarik di atas bingkai kayu. Kemudian, tiru reka bentuk itu menggunakan pen.
Kemudian, gunakan pistol tufting, iaitu mesin yang dipegang tangan dengan berat 1.5 kilogram yang menembakkan benang melalui kain, untuk memberikan ‘kehidupan’ kepada reka bentuk awda.
Proses menembakkan benang melalui kain dapat memberikan pengalaman yang cukup menggembirakan.
“Awda mungkin akan terlena sepenuhnya ketika membuat hiasan permaidani, jadi ia membantu mengurangkan tekanan dan memberikan awda sedikit rasa keletihan,” kata Chiyuri, adik Nakatake yang bersama-sama mengendalikan KEKE. “Saya berharap orang ramai dapat menikmati pengalaman yang luar biasa ini,” tambahnya.
Ramai yang menggunakan imej haiwan peliharaan mereka, bunga kegemaran atau inspirasi lain sebagai sumber idea, dan permaidani tersebut biasanya boleh disiapkan dalam kira-kira empat hingga lima jam. Permaidani tersebut boleh berbentuk bulat atau segi empat dan mempunyai saiz kira-kira 60 x 60 sentimeter atau 50 x 70 sentimeter. Ia juga boleh dibuat mengikut reka bentuk tersendiri.
“Walaupun reka bentuknya tidak rumit, ia akan kelihatan comel apabila dihasilkan menjadi permaidani yang berbulu,” kata Nakatake.
Menempatkan permaidani di hadapan sofa sentiasa merupakan pilihan yang baik, tetapi ia juga akan kelihatan cantik di pintu masuk rumah awda. Ia juga akan kelihatan comel sebagai bantal duduk.
Permaidani-permaidani tersebut boleh digunakan dalam pelbagai cara, seperti digunakan sebagai bingkai cermin atau hanya digantung di dinding.
“Sejak wabak pandemik, mungkin terdapat lebih ramai orang yang menjadi teliti tentang bagaimana penampilan dalaman rumah mereka kerana mereka menghabiskan lebih banyak masa di dalam rumah,” kata Nakatake.
“Permaidani sering dianggap memainkan peranan penting dalam rekabentuk dalaman, tetapi awda akan menyukainya jika ia dibuat sepadan dengan keseluruhan bilik. Cuba tufting untuk menambahkan keserian warna bilik,” ujarnya.
Sentuhan bermusim
Nakatake juga mereka barang-barang bermusim dan menjualnya di media sosial. Menjelang Hari Kekasih, dia membuat bantal berbentuk hati.
“Saya ingin memberikan kejutan terhadap orang ramai dengan menciptakan bukan hanya pada karpet datar sahaja tetapi juga karya yang terbuat dari tiga dimensi,” katanya. – ANN/Japan News