SESIAPA saja pasti teruja sebaik menyaksikan hamparan indah bunga-bungaan segar diserikan dengan lampu LED pada segenap penjuru Swan Lake.
Apatah lagi kemeriahan itu sering dinantikan rentetan festival bunga tahun lalu yang berjaya menarik lebih 200,000 pengunjung.
Kali ini Eco World Illuminations Flower Show di Eco Majestic, Semenyih, Selangor itu menjanjikan kelainan tersendiri buat anda seisi keluarga.
Usaha mewujudkan taman yang dipenuhi pelbagai jenis bunga-bungaan segar itu sebagai langkah mendekatkan masyarakat dengan alam.
“Kesinambungan kehidupan semestinya saling memerlukan sebagai terapi semula jadi khususnya manusia dan alam”.

“Kunjungan beramai-ramai juga secara tidak langsung menjadi titik pertemuan buat komuniti di sini untuk saling mengenali dan bermuafakat,” katanya yang begitu menghargai sambutan luar biasa itu.
Suasana malam juga paling dinantikan saat lampu LED yang terpasang sarat dengan warna-warni.
Hanya perlu berjalan ke Swan Lake, pintu gerbang LED sudah cukup untuk menggambarkan kemeriahan festival itu.
Di depan mata landskap asalnya berlatarkan taman Inggeris dilimpahi keindahan luar biasa hingga menjadi sudut paling sesuai untuk merakam gambar.
Memulakan penerokaan landskap dengan laluan di sebelah kanan, reka letak bas mini lama menjadi penyeri pertama hiasan taman.
Berjalan sedikit mendaki, nyata membenarkan anda untuk melihat secara dekat skulptur kereta kuda LED.
Sudah tentu tema seperti LED Rainforest, LED Music Zone, LED Tulips, Fairy Tale Zone, LED Recycled Bottles: Giant Dandelion, Butterfly Park, Plant Zoo dan Avatar Trees antara yang membuatkan anda cukup teruja untuk menghabiskan kelapangan waktu di festival itu khususnya hujung minggu.
Lebih 2,800 pokok renek dan bunga seperti marigold, salvia, hydrangea, oxalis, geraniums, silver dust, passionflower, hollyhocks menghiasi Swan Lake ditambah dengan landskap sedia.