Muka bumi dan alam semula jadi telah mengeluarkan banyak wap sejak kebelakangan ini, serta abu dan lahar.
Letusan gunung berapi, pumis dan batu lain yang ditinggalkan ekoran letusan memberi inspirasi kepada sesetengah corak hiasan amat unik.
Puluhan gunung berapi sedang meluahkan abu dan lahar, dari Indonesia ke Alaska, Itali ke Iceland dan Rusia, menurut Muzium Sejarah Semula jadi Institusi Smithsonian.
Dari segi sejarah, artis dan pekerja pertukangan yang tinggal di rantau gunung berapi aktif telah menggunakan batu igneus yang kaya dengan magnesium dan besi.
“Ia merupakan batu yang mudah diakses, terletak berhampiran permukaan bumi. Ia dibentuk sendiri dan amat keras,” menurut pengkritik reka bentuk dan bekas editor majalah Wallpaper, Laura Houseley.

Amat keras sehingga penduduk kuno Rom menggunakannya untuk membina konkrit untuk bangunan peringatan Pantheon dan tembok laut.
Anda mungkin tidak berpeluang melihat pertunjukan lahar sekarang, namun terdapatnya banyak barang berkaitan gunung berapi untuk ahli vulkanologi.
Kedai Grapevine di Iceland menawarkan pakaian kasual yang menarik perhatian, cawan, poster dan sarung komputer riba yang dicetak dengan gambar gunung berapi Fagradalsfjall, diambil oleh jurugambar Art Bicnic. Satu gambar atas gunung berapi, diambil pada Mac sejurus selepas ia mulai meletus akan mengimbau semula kenangan Mordor bagi peminat The Lord of the Rings.
Di Etsy, Magdalena Donahue dari studio Facts Figures Designs yang berpangkalan di New Mexico menyifatkan produknya sebagai ‘Bumi yang sesuai dipakai’.
Pakaian dan aksesori dicetak dengan gambar yang mendapat inspirasi daripada sumber data saintifik seperti peta topografi, bacaan seismik, medan magnetik, corak galian dan aliran lahar.
Agusta Arnardottir dari studio yang berpangkalan di Reykjavik dan London mengukir barang kemas minimalis moden daripada perak, emas dan ketulan kecil pumis (vikur ialah perkataan Iceland untuk pumis) dari kaki gunung berapi Hekla, salah sebuah gunung berapi yang meletus berulang-ulang di pulau itu. Terdapat gambar di laman Instagram menunjukkan Arnardotti mendaki kawasan puing Hekla, tangannya menggenggam beberapa beg yang berisi batu kelikir.
Gjoska, sebuah firma reka bentuk dan kedai di kawasan desa Iceland, menawarkan baju panas cantik dengan latar belakang batu igneus basalt warna kelabu dan merah jingga mengalir turun di depan. Mereka juga mempunyai topi dan pakaian lain bersama corak berkenaan.
Arkitek yang berasal dari Los Angeles, Gulla Jonsdottir telah mereka satu koleksi perabot diilhamkan daripada landskap kampung halamannya di Iceland.
Meja Volca yang direkanya terdiri daripada alabaster bentuk segi empat, dengan rekahan emas yang mempunyai keratan melintang di permukaan. Bangku bar bertenggek di atas kaki emas yang berkilat, kerusi kulit dibalut dalam gangsa dibubuh minyak yang telah diukir untuk kelihatan seperti batu lebur.
Meja Lahar diperbuat daripada gangsa diletak di tepi bongkah marmar, seolah-olah batu lebur telah terhenti dalam pertengahan aliran.
Signature Hardware menawarkan beberapa singki elegan yang sesuai untuk bilik mandi. Kedua-dua singki berbentuk bulat Loa dan segi empat Mauna diukir daripada batu andesit, sejenis batu gunung berapi yang ditemui di kawasan Asia, Caribbean, Amerika Tengah dan Barat Laut Pasifik.
Set lapis minuman Loa dari CB2, serta dulang Hilo mereka dibentuk daripada batu lahar Indonesia. Dulang itu mempunyai corak petak-petak yang dibentuk menerusi gabungan batu dengan resin.
Juga di CB2, satu seni dinding yang amat menarik diukir daripada abu gunung berapi Filipina; lipatan dan kedutan berbucu-bucu Athena menjadikannya kelihatan seperti origami.
Studio produk seni bina London Dzek menghabiskan tiga tahun mengusahakan jubin porselin yang disadur dengan abu gunung berapi. Mereka menamakan koleksi berkenaan ExCinere, menggunakan istilah Latin ex cinere, bermakna ‘dari abu’. Boleh diperoleh dalam dua saiz, jubin bertekstur itu didatangkan dalam empat saduran gunung berapi daripada warna karamel sehinggalah perang gelap.
Artisan di Tecali, Mexico telah mengukir batu gunung berapi dalam wajah bangunan dan objek selama beberapa generasi.
Selain itu, kedai dalam talian Maison Numen menawarkan molcajete yang diukir tangan, atau batu lesung dan antan serta pinggan leper yang amat sesuai untuk menyajikan makanan kepada para tetamu.
Sekiranya anda berminat dalam barang-barang koleksi, laman seperti Etsy.com, ia mempunyai contoh-contoh barangan seramik cantik pertengahan abad yang dihasilkan oleh Glit Pottery di Iceland. Studio itu, ditubuhkan pada tahun 1950, terkenal kerana menggabungkan pumis, batu lahar dan abu dalam saduran mereka, sekali gus mewujudkan rekaan luar biasa di antara seramik berkilat berwarna-warni dan bahan gunung berapi semula jadi.
Bekas pengurus bank yang menjadi pakar seramik Bjarni Sigurdsson menggunakan teknik yang sama dalam kerjanya; untuk koleksi jambangan bunga Ash Cloud, beliau menambah sisa bara daripada letusan gunung berapi Eyjafjallajokull pada 2010 kepada saduran kemasannya. – AP