Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hiasi diri dengan amanah, elak khianat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Menghiasi diri dengan akhlak yang baik dan mulia adalah satu keutamaan bagi membina dan membangun kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.

    Dalam Islam, orang yang berakhlak baik dan mulia akan menepati kedudukan yang tinggi di dunia dan di akhirat.

    Perkara ini dijelaskan oleh Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini bertajuk ‘Hiasi diri dengan sifat amanah’, dan seterusnya menegaskan tanpa ada sifat amanah, satu matlamat itu tidak akan tercapai seperti yang dirancang.

    Amanah merupakan satu tanggungjawab yang amat besar dan sangat berat untuk dilaksanakan dan ia bukan satu perkara mudah dan boleh diambil ringan.

    Katanya lagi, “antara akhlak mulia yang patut dimiliki oleh setiap umat Islam itu adalah amanah, apakah sifat amanah, amanah dalam segala sesuatu yang dipercayakan kepada manusia bagi yang menyangkut tahap dirinya, hak orang, mahupun hak Allah SWT”.

    Agama Islam menganjurkan umatnya agar menghiasi dengan sifat amanah, betapa besar kepentingan amanah ini sehingga ia dijadikan sebagai salah satu sifat yang wajib bagi seseorang rasul.

    Khatib seterusnya menambah, contoh yang boleh dikaitkan dengan amanah itu adalah dengan mengamalkan sifat amanah dalam pekerjaan, tidak kira seseorang itu bekerja sendiri, bekerja di sektor awam dan sektor swasta.

    Sebagai seorang pekerja khasnya penjawat awam yang telah diberi mandat untuk memegang jawatan hendaklah memikul dan menanai dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab, jangan sampai amanah dipertanggungjawabkan itu dikhianati.

    “Seorang pekerja khususnya penjawat awam hendaklah berusaha melaksanakan tugas yang diberikan dengan baik dan sempurna, bersungguh-sungguh, mempunyai rasa tanggungjawab, menunjukkan komitmen, tidak membebankan orang lain dan menyiapkan tugas yang diberikan dengan amanah dan tepat pada waktunya”.

    Gambar Fail

    Kita perlu menterjemah amanah secara praktikal dalam pekerjaan, jelasnya, dan antaranya amanah dalam tugas yang diberikan, amanah pada harta, data yang dipertanggungjawabkan, amanah dalam perolehan dan kewangan, amanah dalam mengurus konflik kepentingan, amanah pada layanan, amanah dalam membuat keputusan dan sebagainya.

    Sifat amanah itu sekiranya telah tertanam subur dalam diri, tegas Khatib, tidak akan timbul masalah rasuah, penyelewengan, curi masa, curi tulang, melaksanakan kerja kurang berkualiti, cuai, dan sambil lewa.

    “Di sini jelas sifat amanah itu diibaratkan sebagai anak kunci kejayaan kepada sesuatu organisasi, syarikat, jabatan dan kementerian,” ujarnya.

    Inilah sumbangan besar kepada kemajuan Negara dan kesejahteraan rakyat seiring hala tuju pembangunan Negara yang menekankan integriti, kecemerlangan dan kesejahteraan sosial.

    “Agama Islam mewajibkan umatnya untuk menjadi dan memelihara amanah dan mengharamkan melakukan khianat dengan mencuaikan amanah”.

    Dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW ada menjelaskan, mengenai balasan terhadap orang yang mencuaikan amanah dan bebuat khianat, orang yang berbuat khianat akan menerima balasan di akhirat kelak.

    Orang yang mencuaikan amanah adalah orang yang munafik, dan orang yang mencuaikan amanah adalah orang yang tidak sempurna imannya.

    Pada tahun ini Negara Brunei Darussalam meraikan Hari Perkhidmatan Awam kali ke 32, dengan tema ‘Keberdayatahanan dan Perpaduan Perkhidmatan Awam Pemangkin Kesejahteraan Negara’.

    Perkhidmatan Awam merupakan tonggak utama dalam mengerak aktif sumber tenaga manusia dan penyumbang kepada program pembangunan Negara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Selaku penjawat awam, Khatib menyeru untuk sama-sama melaksanakan tanggungjawab dengan cekap, bijaksana, jujur, adil dan amanah.

    “Sebagai umat Islam, kita hendaklah meyakini bahawa amanah dalam pekerjaan adalah satu tuntutan dan akan dihisab di hadapan Allah di akhirat kelak,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda