Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hiasi diri dengan sifat malu

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah contoh tauladan dan ikutan yang terbaik bagi seluruh umat manusia, oleh itu, sebagai umat Islam kita hendaklah mengikuti dan mencontohi sifat-sifat dan akhlak Baginda di mana salah satunya ialah bersifat malu.

    Khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk Malu: Perhiasan Mukmin Sejati, hari ini, turut menyatakan, Imam Al-Ghazali RA berkata bahawa malu adalah perhiasan mukmin sejati dan ia merupakan akhlak para nabi dan rasul yang harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW.

    “Sesungguhnya sifat malu ialah sifat yang mengajar kita untuk sentiasa menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji kerana ia dapat mencegah dan menjauhkan kita daripada melakukan sebarang bentuk perbuatan dosa, buruk, hina dan tercela,” jelas khatib.

    Perasaan malu juga akan membuatkan seseorang itu untuk lebih berhati-hati dalam setiap gerak-geri dan tingkah laku sama ada dari segi perkataan mahupun perbuatan.

    Sesungguhnya, beruntunglah bagi mereka yang dapat menghiasi dirinya dengan sifat malu kerana sifat itu adalah sebahagian daripada iman dan iman itu pula tempatnya adalah di syurga, tambah khatib.

    GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI

    Dalam pada itu, khatib turut menjelaskan terdapat dua jenis malu iaitu malu yang tercela iaitu malu untuk bertanya mengenai sesuatu ilmu yang tidak diketahui; dan malu yang terpuji iaitu meletakkan malu pada tempatnya seperti malu kepada Allah SWT, malu melakukan dosa dan seumpamanya.

    Menurut Al-Mawardi dalam Kitab Adab Ad-Dunia Waddin, beliau membahagikan malu yang terpuji itu kepada tiga iaitu malu kepada Allah SWT iaitu dengan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang ditegah dan dilarang olehNya, malu kepada manusia iaitu tidak mengganggu dan menyakiti orang lain dengan meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk yang tidak sepatutnya dilakukan terhadap orang lain seperti menyebarkan fitnah, mengadu domba, menjadi batu api dan seumpamanya.

    Begitu juga, malu kepada diri sendiri iaitu mengawal diri ketika bersendirian dan menjaga diri daripada sifat-sifat tercela seperti berasa malu untuk menilai aib dan keburukan orang lain.
    “Antara tanda kurangnya rasa malu itu ialah apabila seseorang itu secara terang-terangan melakukan kesalahan, kemungkaran, maksiat dan melafazkan perkataan-perkataan yang menyakiti perasaan dan hati orang lain dengan sengaja; wanita yang berpakaian namun seolah-olah tidak berpakaian; dan lelaki yang berkongsi perkara aib dan sulit tentang rumah tangga dengan orang lain.

    “Sesungguhnya aib merupakan suatu perkara yang tidak boleh sewenang-wenangnya dibuka ataupun disebarkan kepada orang lain. Namun kita sering melalaikan dan melupakan peringatan ini. Kita kerap kali mendedahkan aib orang dan mencanangkannya kepada khalayak ramai sehingga kita terlupa tentang amaran Rasulullah SAW,” tegas khatib.

    Dalam pada itu, khatib turut mengongsikan, daripada Ibnu Umar RA, bahawa pada satu hari Rasulullah SAW naik mimbar dan bersabda: Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, namun belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang Islam dan jangan membuka aib mereka, kerana sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang Muslim, maka Allah SWT akan membuka aibnya. Dan sesiapa yang aibnya dibuka oleh Allah SWT, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

    “Oleh yang demikian, hiasilah diri kita dengan sifat malu kerana ia adalah perhiasan Mukmin sejati dan juga sebagai benteng yang boleh mengelakkan diri kita daripada melakukan perbuatan mungkar dan maksiat. Ingatlah, bahawa azab dan seksa Allah SWT itu amat pedih. Oleh itu, jika hendak berbuat kejahatan, maka berfikirlah terlebih dahulu dan janganlah sewenang-wenang melakukannya,” tegas khatib.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda