Tuesday, March 4, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hiasi meja kerja dengan pad nota kayu

    Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods

    Mencatat sesuatu informasi ketika menjawab telefon memerlukan kertas sentiasa tersedia berdekatan ketika bekerja.

    Hal ini bagi mempermudah langkah untuk membuat senarai sementara sebelum menyenaraikannya ke buku atau perisian khusus.

    Oleh itu, bagi memastikan meja kerja sentiasa tersedia dengan nota sementara, projek ini akan membawa awda menelusuri langkah pembuatan pad nota daripada kayu yang juga berfungsi untuk menghiasi meja kerja.

    Antara barangan diperlukan

    • Papan 3/8 inci
    • Dowel 3/8 inci
    • Pin loyang
    • Skru
    • Kenop kayu
    • Mesin gerudi
    • Mesin jig atau bandsaw
    • Bilah gergaji besi
    • Kertas pasir
    • Blowtorch
    • Gam kayu
    • Alat pengapit kayu

    LAKAR BENTUK DIPERLUKAN

    Mulakan langkah pembuatan dengan melakar bentuk diperlukan yang diinspirasikan daripada tape dispenser.

    Rekaan akan terbahagi kepada empat bahagian di mana pada papan utama di bahagian bawah mempunyai ukuran 7 inci panjang dengan ketebalan lebih kurang ¼ inci (gambar 1).

    Gambar 1 – Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods
    Gambar 2 – Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods
    Gambar 3 – Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods
    Gambar 4 – Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods
    Gambar 5 – Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods
    Gambar 6 – Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods
    Gambar 7 – Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods
    Gambar 8 – Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods
    Gambar 9 – Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods
    Gambar 10 – Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods
    Gambar 11 – Gambar oleh Knife141, Matt Weber dan Bear Woods

    Sementara bahagian ramp (nombor 2) mempunyai kepanjangan 4½ inci.

    Manakala bahagian yang mempunyai bentuk membulat akan mempunyai panjang lebih kurang 6 inci yang akan disesuaikan dengan kedudukan ramp. (gambar 2)

    Setelah melakarkan bentuk diperlukan, potong kertas tersebut untuk dijadikan templat bagi memudahkan langkah memotongkan papan.

    Potong kayu menggunakan mesin jig, scrollsaw atau bandsaw. Bahagian potongan dengan bentuk membulat di bahagian tengahnya perlu ditebuk dengan lubang sesuai ukuran dowel untuk menempatkan kertas nanti iaitu ¾ inci.

    Selain itu bahagian ramp, salah satu bahagian hujungnya akan diketam bagi mendapatkan bentuk menyendeng. (gambar 3)

    Apabila kesemua bahagian telah tersedia, cantum kesemuanya menjadi satu menggunakan gam kayu.

    Sapu permukaan cantuman menggunakan gam kayu, kemudian kekalkan kedudukan cantuman dengan bantuan alat pengapit kayu sehinggalah gam kayu mengering. (gambar 4)

    Sementara menunggu gam mengering, gunakan masa terluang untuk menyediakan pemegang gulungan kertas daripada dowel ¾ inci. Ukur jarak antara kedua-dua bahagian kayu membulat dan kedalaman lubang kenop kayu.

    Setelah itu tambah dengan ukuran kira-kira 1 sentimeter sebelum memotongkan dowel kayu tersedia. (gambar 5)

    Manakala pada bahagian kenop kayu, pastikan diameter bahagian dalamannya sesuai dengan saiz dowel digunakan.

    Jika kenop yang didapatkan terlalu kecil, kikir atau gosok menggunakan kertas pasir untuk mendapatkan ukuran diperlukan.

    Bagi mempercepat proses, gunakan mesin khusus mengukir seperti Dremel. (gambar 6)
    Bagi memberikan hasil akhir yang lebih menarik, permukaan rekaan akan dibakar menggunakan blowtorch.

    Gunakan api secara perlahan dan elak daripada menumpu satu permukaan terlalu lama kerana ini akan menyebabkan kayu terbakar sehingga berlubang. Sentiasa gerakkan langkah pembakaran dari satu kawasan ke satu kawasan sehinggalah warna kayu yang diinginkan dicapai.

    Setelah itu, gosok permukaan kayu menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit bagi membuangkan sedikit permukaan kayu. (gambar 7)

    Cara lain untuk mendapatkan warna permukaan kayu yang lebih disukai adalah menggunakan wood stain.

    Pelbagai warna boleh dipilih dengan cara ini daripada cerah sehinggalah gelap.
    Dua lapisan wood finish diperlukan dengan memberikan masa untuk lapisan pertama mengering sebelum menyapukan lapisan kedua. (gambar 8)

    Ketika menunggu wood stain untuk menyerap dan mengering, masa terluang akan digunakan untuk membuat alat pemotong kertas dan penjajarannya.

    Untuk alat penjajaran, pin loyang berdiameter 2 milimeter akan dipotong dan dibengkokkan pada kedua-dua bahagian hujungnya dengan kedudukan 90 darjah.

    Manakala alat pemotong kertas akan diperbuat daripada bilah gergaji besi yang dipotong dan ditebuk dengan lubang pada kedua-dua bahagian hujungnya. (gambar 9)

    Bahagian bawah rekaan, bagi memastikan permukaan meja tidak rosak akibat bergesel ketika mengalihkan pad nota nanti, akan dipasangkan dengan rubber feet.

    Gunakan skru dengan panjang bersesuaian ketika mengekalkannya bagi mengelakkan ia menembusi permukaan atas. (gambar 10)

    Langkah terakhir ialah menetapkan kedudukan alat penjajaran dan pemotong kertas pada pad nota yang direka.

    Sebagai bahagian terpenting, pemotong kertas juga boleh diwarnakan dengan cat cerah untuk menjadikan rekaan lebih menarik.

    Dengan terciptanya rekaan ini, kini menulis sesuatu maklumat yang awda perlu catat dengan segara lebih mudah dan sentiasa tersedia. (gambar 11)

    Tip rekaan

    • Gunakan cat khusus besi ketika mewarnakan permukaan pemotong kertas.

    • Selain menggunakan gam kayu, rekaan juga boleh dicantum menggunakan skru atau paku kecil.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda