Wednesday, October 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hiasi rekaan dengan resin berwarna, bercorak

    Oleh Amri HTZ –

    Berinteraksi bersama keluarga penting dalam memastikan kita dapat mengenali antara satu dengan yang lain. Pelbagai medium boleh digunakan untuk melaksanakannya dengan salah satu daripadanya ialah bermain permainan kad.

    Bukan sahaja dapat berkomunikasi bersama mereka, bahkan boleh mempertajam kemahiran membuat keputusan dan strategi mereka. Oleh itu bagi memastikan kad dimiliki kekal dalam keadaan baik selepas bermain, kotak khusus untuknya perlu ada sebagai tempat penyimpanan.

    Barangan yang perlu ada

    Kayu
    Resin epoksi
    Pewarna resin (merah, biru dan putih)
    Teak oil (pelindung kayu)
    Mesin pemotong kayu
    Pita pengukur
    Gam kayu
    Kertas pasir

    UKUR, POTONG KAYU TERSEDIA

    Kayu-kayu tersedia terlebih dahulu dipotong dengan ukuran diperlukan mewakili setiap bahagian kotak.

    Untuk bahagian sisi kiri, kanan dan tengah memerlukan kayu berukuran 4 inci x 2½ inci bagi tiga keping, atas dan bawah 7½ inci x 2 ½ inci (dua keping), 7½ inci x 5 inci bagi bahagian belakang (sekeping), kayu 7½ inci panjang untuk atas dan bawah bahagian penutup (dua batang) dan 5 inci panjang bagi bahagian sisi penutup. (gambar 2)

    Setelah memotongkan kayu-kayu diperlukan, ia kemudiannya dicantumkan menjadi satu menggunakan gam kayu.

    Gambar 1. – GAMBAR OLEH AAYUSHIRANI
    Gambar 2. – GAMBAR OLEH AAYUSHIRANI
    Gambar 3. – GAMBAR OLEH AAYUSHIRANI
    Gambar 4. – GAMBAR OLEH AAYUSHIRANI
    Gambar 5. – GAMBAR OLEH AAYUSHIRANI
    Gambar 6. – GAMBAR OLEH AAYUSHIRANI
    Gambar 7. – GAMBAR OLEH AAYUSHIRANI
    Gambar 8. – GAMBAR OLEH AAYUSHIRANI
    Gambar 9. – GAMBAR OLEH AAYUSHIRANI
    Gambar 10. – GAMBAR OLEH AAYUSHIRANI

    Selain penggunaan paku kecil untuk mengekalkan kedudukan cantuman, menggunakan alat pengapit merupakan salah satu pilihan bagi awda yang pentingkan permukaan cantuman yang lebih bersih (seamless).

    Bagi awda yang tidak memiliki kayu-kayu dengan ukuran sedemikian dan hanya menggunakan kayu terpakai, mencantumkan beberapa batang kayu menjadi satu juga boleh dilakukan dengan memastikan ia mempunyai lebar dan tebal yang sama. (gambar 3)

    CAMPURAN RESIN PERLU TEPAT

    Dalam memastikan resin kering dengan sempurna, campuran resin digunakan perlulah mengikut arahan tertera pada botol resin digunakan.

    Pada kebiasaannya, campuran dengan nisbah 1:1 digunakan yang cukup mudah dengan cara memerhatikan paras cecair dituangkan pada botol berukuran sama.

    Setelah mencampurkannya, masukkan pewarna resin pilihan ke dalam ruangan kotak rekaan. (gambar 4)

    Untuk memberikan kelainan pada campuran resin tersebut, pewarna resin berwarna putih akan dicampurkan yang kemudiannya dikacau bagi mengubah kedudukannya mahupun membentuk suatu corak yang luar biasa. (gambar 5)

    KAYU BAHAGIAN PENUTUP

    Sementara menunggu resin mengering, gunakan masa terluang untuk mereka tulang tengah kayu penutup.

    Selain bertujuan untuk mengukuhkan struktur rangka bahagian penutup rekaan, ia juga bagi mempamerkan kreativiti dalam mengolah bentuk akhir rekaan.

    Dua batang kayu akan digunakan pada langkah ini dengan bahagian hujungnya dipotong sesuai dengan sudut dalaman bahagian penutup. (gambar 6)

    Setelah memotongkannya, cantumkan keseluruhan bahagian kayu penutup. Ini termasuk dua batang kayu untuk bahagian tengah dengan sebatang kayu berketebalan ½ inci diletakkan pada bahagian tengah berfungsi sebagai penetap jarak antara kedua-duanya.
    (gambar 7)

    Memandangkan bahagian penutup rekaan tersebut juga akan dituangkan dengan resin, bahagian belakangnya akan ditutup dengan sekeping plastik atau kertas bagi menampung resin nanti. Langkah melekatkannya boleh dilakukan dengan menggunakan gam silikon atau hot glue gun. (gambar 8)

    BENTUK CORAK TERSENDIRI

    Sama seperti langkah sebelumnya, semasa menuangkan resin mengikut kesukaan, pewarna resin berwarna putih pula akan dicampurkan yang kemudian dikacau membentuk corak yang dirasakan menarik.

    Sementara bahagian tengah penutup tersebut hanya akan dituangkan resin tanpa pewarna. (gambar 9)

    Setelah resin mengering, kertas pasir akan digunakan untuk menggosok kertas pada bahagian penutup yang digunakan untuk menampung resin sebelumnya.

    Bagi penggunaan plastik, awda hanya perlu menanggalkannya sama ada dengan bantuan pahat mahupun pisau utiliti.

    Bagi memastikan permukaan resin yang digosok nampak jelas semula, kertas pasir yang lebih halus bermula daripada grit 400, 800, 1,500 dan 2,000 digunakan pada langkah ini. (gambar 10)

    Tip rekaan

    Jika resin yang digosok belum cukup jelas, gunakan polishing compound bersesuaian untuk mendapatkan permukaan yang berkilat dan jelas.

    Sapukan beberapa lapisan Teak oil dengan memberikan masa untuk setiap lapisan menyerap sepenuhnya bagi melindungi permukaan rekaan.

    Pastikan ukuran rekaan lebih besar daripada ukuran kad sebenar untuk memudahkan ia dikeluarkan atau dimasukkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda