HOKKAIDO, 14 APRIL – The Mondaiji Con Cafe Daku, diterjemahkan secara kasar sebagai Kafe Gelap Kanak-kanak Bermasalah, baru-baru ini mengumumkan bahawa ia telah memecat seorang pekerja kerana menambah darahnya ke dalam koktel, dilaporkan atas permintaan pelanggan.
Pihak pengurusan kafe itu meminta maaf, sambil berkata di Twitter bahawa tindakannya ‘sama sekali tidak boleh diterima’.
Dibuka pada bulan Mac di daerah hiburan Susukino di bandar Sapporo, kafe tersebut mengupah gadis ‘tidak stabil mental’ dan ‘bermasalah’ sebagai pelayan wanita yang memakai solekan gelap gaya gothic.
Pelanggan membayar 2,500 yen ($25) sejam untuk meminum semua jenis minuman yang mereka mahu.
Kafe itu menulis di Twitter bahawa ia berhenti beroperasi sehari bagi menggantikan gelas minuman di premisnya.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P11-2a-web-darah_15042023.jpg)
“Meminum darah orang lain adalah tindakan yang sangat berbahaya,” kata Dr Zento Kitao kepada laman berita Jepun, Flash, yang pertama kali melaporkan kejadian itu di kafe itu.
“Kes orang dijangkiti akibat meminum darah orang lain jarang berlaku, tetapi penyakit utama boleh berjangkit melalui darah, termasuk HIV, Hepatitis C, Hepatitis B dan sifilis. Sekiranya terdapat luka di dalam mulut, ia mudah dijangkiti melalui peredaran darah.”
Beliau menambah bahawa kakitangan perubatan sendiri mengendalikan darah dengan sangat berhati-hati, mengambil langkah-langkah seperti memakai pelindung mata semasa operasi bagi mengelakkan darah pesakit daripada terpercik ke mata doktor.
Dr Kitao berkata pekerja yang diberhentikan dan pelanggan yang meminum koktel tersebut perlu menjalani ujian darah.
Seorang pengulas merumuskan situasi tersebut di bahagian komen, “Kafe yang hanya menggunakan kanak-kanak yang bermasalah ternyata menjadi terlalu banyak masalah.” – ANN/The Straits Times