Thursday, February 13, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidangan berasaskan karbohidrat

    MAKANAN yang berasaskan kepada karbohidrat seperti mi dan nasi memang cukup sinonim dalam resipi masakan Melayu.

    Lebih seronok lagi apabila berpeluang untuk menghidangkan resipi enak itu untuk dinikmati oleh seisi keluarga.

    Malah dengan memasak sendiri di rumah, dapat membantu untuk menjimatkan kos terutama bagi keluarga besar.Yang penting, perlu masak sepenuh hati agar kasih sayang dapat diluahkan menerusi hidangan yang dimasak.

    Justeru kali ini, dikongsikan resipi yang berasaskan karbohidrat seperti mi dan nasi yang boleh anda masak sendiri di rumah.

    Nasi Lemak

    Bahan untuk nasi:

    3 cawan beras

    1 cawan santan

    3 hiris halia

    3 biji bawang merah yang dihiris

    3 cawan air

    2 helai daun pandan yang disimpul

    1 batang serai yang dititik

    Sedikit garam

    Bahan untuk sambal:

    6 sudu besar cili kisar

    1 biji bawang besar yang dihiris bulat

    3 biji bawang merah yang dihirs

    2 ulas bawang putih yang ditumbuk

    2 biji bawang besar yang ditumbuk

    Sedikit air asam jawa

    Segenggam ikan bilis (sebahagian digoreng dan sebahagian ditumbuk)

    Sedikit air

    Gula, garam dan serbuk perasa

    Minyak masak

    Cara membuat:

    Untuk membuat nasi lemak, basuh beras dengan air sehingga bersih kemudian toskan. Di dalam periuk, masukkan beras, santan, air, daun pandan, hirisan bawang merah, halia dan serai. Setelah mendidih, tambah garam dan kacau rata. Tanak hingga nasi masak sepenuhnya. Untuk memasak sambal, panaskan minyak dan tumis cili kisar, bawang putih, bawang besar, ikan bilis tumbuk dan bawang merah sehingga pecah minyak. Kemudian masukkan bawang besar hiris, air asam jawa, dan sedikit air agar sambal tidak terlalu pekat. Apabila sudah mendidih, masukkan ikan bilis yang digoreng dan sesuaikan rasa dengan garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa. Hidangkan nasi bersama sambal bilis, telur dadar, timun, dan kacang tanah. Sedia dinikmati.

    Mi Rebus

    Bahan-bahan:

    ½ kg mi kuning yang dicelur

    2 sudu udang kering

    2 ulas bawang putih yang dikisar

    1 bawang besar yang dikisar

    Sedikit halia yang dikisar

    Sedikit lengkuas yang diketuk

    1 batang serai yang diketuk

    1 sudu makan rempah kari daging

    2 biji keledek yang direbus dan kisar

    Sedikit air

    Sedikt minyak masak

    Garam, gula dan serbuk perasa

    Bahan-bahan hiasan:

    Sedikit cili api hiris

    Sedikit bawang goreng

    1 biji limau kasturi

    1 biji telur rebus

    Cara membuat:

    Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar bersama rempah kari. Masukkan serai dan lengkuas yang diketuk. Kemudian masukkan pula udang kering dan keledek yang telah dikisar bersama air. Kacau dan masukkan sedikit gula, garam dan serbuk perasa secukup rasa. Kacau rata. Tutup api. Untuk menghidang, masukkan sedikit mi kuning ke dalam mangkuk, tuang kuah dan masukkan bahan-bahan lain seperti hirisan cili padi, bawang goreng, setengah limau kasturi dan telur rebus (belah empat). Sedia dinikmati.

    Nasi Goreng Cina

    Bahan-bahan:

    1 mangkuk nasi putih

    1 sudu teh serbuk lada sulah

    2 biji telur yang dipukul

    4 ulas bawang putih yang dicencang

    4 biji bawang merah yang dicencang

    Sedikit isi ayam yang dicencang

    Daun sup yang dicencang

    Sedikit lobak merah yang dicencang

    Sedikit minyak bijan

    Garam secukupnya

    Sedikit air

    Sedikit minyak masak

    Cara membuat:

    Panaskan minyak masak dan minyak bijan. Tumis bawang putih dan bawang merah cencang. Kemudian masukkan isi ayam. Gaul sekata. Masukkan sedikit air dan serbuk lada sulah. Masukkan telur dan kacau sehingga telur masak. Tambahkan sedikit garam sebagai perasa. Masukkan nasi dan gaul sehingga sebati. Akhir sekali masukkan lobak merah dan daun sup. Angkat dan sedia dinikmati.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda