Hidangan Papua kaya dengan nutrien

Dengan menggunakan bahan-bahan yang berkualiti tinggi dan cara memasak yang lebih sihat, seorang pakar makanan telah menguji khazanah masakan Papua, Indonesia dan mendapati ia sangat kaya dengan kepelbagaian rasa serta nutrien.

Rika Ramandey, cef yang tinggal di Papua selama beberapa dekad, berkata bahawa keunikan wilayah yang luas itu turut menyediakan sayur-sayuran segar serta bekalan ikan yang terlalu banyak.

“Kebanyakan penduduk mendapat manfaat daripada persekitaran mereka, seperti dengan mengumpulkan bahan tanaman mereka sendiri untuk diproses sebagai makanan asasi mereka,” kata Rika pada acara kepelbagaian budaya Papua di Gedung Sarinah di Jakarta baru-baru ini. Dia turut menampilkan beberapa jenis bahan yang hanya terdapat di Papua iaitu taro, daun melinjo, pakis, kelapa dan bunga papaya yang lazimnya sangat mudah diperoleh di Papua.

Penduduk yang tinggal berdekatan dengan hutan dapat memilih ramuan mereka sendiri, sementara mereka yang tinggal di tepi pantai boleh menangkap pelbagai jenis ikan untuk dimasak. “Penduduk Papua sering menggunakan sagu atau ikan dalam setiap masakan mereka. Hidangan yang paling terkenal ialah sup ikan kuning dan ikan panggang batu,” kata Rika.

Dia turut menambah bahawa akibat kekurangan bahan-bahan tertentu seperti minyak goreng, masakan Papua sangat berbeza daripada yang terdapat di kawasan lain di Indonesia. “Selain minyak goreng, bahan-bahan seperti bawang dan garam juga jarang dimasukkan dalam masakan mereka. Walau bagaimanapun, ini bermakna bahawa masakan Papua sangat kaya dengan bahan nutrien,” jelasnya lagi.

Dengan pokok kelapa yang banyak di Papua, Rika berkata penggunaan minyak kelapa adalah lebih daripada biasa. Akan tetapi ia bukannya hanya digunakan untuk memasak akan tetapi turut digunakan sebagai produk minyak rambut dan bahan penjagaan kulit. – Agensi

Hidangan yang paling terkenal di wilayah Papua ialah sup ikan kuning. – Agensi

Selain itu, hidangan ikan panggang batu turut terkenal di wilayah Papua khususnya bagi penduduk yang tinggal di pesisir pantai. – Agensi