Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidangan tumis paling popular Vietnam

    HANOI – Lima hidangan Vietnam telah disenaraikan dalam 100 Hidangan Tumis Asia Terbaik TasteAtlas, sebuah laman web masakan terkenal yang pakar dalam makanan dari seluruh dunia.

    Ia termasuk rau muong xao toi (kangkong tumis), pho xao (pho goreng), mien xao cua (isi ketam dan tanghoon tumis), qua su su xao toi (labu bawang putih) dan oc huong (siput manis).

    Kangkong masak tumis menduduki tempat ke-13, yang teratas antara hidangan Vietnam dalam senarai, di mana ia diberikan taraf 4.3/5 bintang. TasteAtlas menggambarkannya sebagai hidangan tradisional Vietnam yang sesuai untuk vegetarian.

    Ia dimasak dengan gabungan sayur kangkong, bawang putih, sos ikan, garam, gula dan sos tiram. Kangkong dicelur sekejap, kemudian ditumis dengan bawang putih, garam dan gula, manakala sos ikan ditambah pada akhir masakan.

    “Hidangan sayur-sayuran ini disajikan panas-panas, biasanya sebagai sebahagian daripada hidangan tiga jenis sajian, yang pertama adalah tumis; sajian kedua rebus atau kukus dan sajian ketiga adalah sup. Kangkong tumis juga gandingan yang baik untuk dimakan bersama nasi putih,” menurut laman web tersebut.

    Kangkong tumis. – ANN/Vietnam News
    Labu siam dan bawang putih tumis. – ANN/Vietnam News
    Pho tumis menduduki tempat ke-27. – ANN/Vietnam News
    Siput manis berada di kedudukan ke-71. – ANN/Vietnam News
    Isi ketam dan mi kaca tumis. – ANN/Vietnam News
    Gambar VnExpress International
    Gambar Vietnamese Food
    Gambar e.vnexpress.net

    Pho tumis menduduki tempat ke-27. Dianggap sebagai variasi pho klasik yang lebih ringkas, hidangan tradisional Vietnam ini menggunakan bahan-bahan yang serupa, tetapi ia ditumis dan tidak mengandungi kuah. Ia biasanya dimasak bersama daging lembu atau ayam, mi leper dan pelbagai sayur-sayuran yang dihiris.

    Tumis isi ketam dan tanghoon ditempatkan di tangga ke-65. Hidangan tradisional Vietnam ini dibuat daripada mi tanghoon tumis, isi ketam, cendawan telinga kayu, cendawan shiitake, lobak merah dan taugeh. Bahan-bahan berkenaan ditumis dalam kuali besar, kemudian ditambah kuah dengan kombinasi jus limau nipis, bawang putih kisar, gula, air dan sos ikan. Setelah siap, hidangan dihiasi dengan bawang hijau dan ketumbar yang dihiris sebelum dihidangkan.

    Labu siam tumis bawang putih, hidangan tradisional Vietnam yang berasal dari Sapa, menduduki tempat ke-68 manakala siput manis menghuni tangga ke-71.

    Bahan-bahan untuk memasak su su (labu siam) dan tumis bawang putih terdiri daripada labu siam, bawang putih, sos ikan, minyak dan udang kering. Labu biasanya dihiris berbentuk batang mancis, kemudian ditumis bersama udang dalam minyak zaitun, bawang putih dan sos ikan.

    Sementara itu, hidangan siput manis tradisional Vietnam, dimasak daripada siput Babylonia yang besar dan manis dengan cengkerang berbintik putih dan coklat. Ia biasanya ditumis dalam kuali besar dengan sos manis dan melekit. Apabila dihidangkan, siput ditarik keluar dari cengkerangnya dengan garpu yang kecil, kemudian dimakan dengan mencecah dalam campuran garam, lada sulah, jus limau nipis dan sos cili.

    Sajian 100 hidangan tumis teratas Asia lain, menurut TasteAtlas, termasuk Dak Galbi (ayam goreng dengan kubis) dari Korea Selatan, phat kaphrao dari Thailand, nasi goreng ayam (nasi goreng Indonesia), pad Thai, beef chow fun dan udang tumis dari China.

    TasteAtlas, ditubuhkan pada 2015, merupakan ensiklopedia perisa, atlas dunia hidangan tradisional, bahan-bahan tempatan dan restoran asli.

    Ranking makanan TasteAtlas adalah berdasarkan penilaian orang awam TasteAtlas, dengan algoritma yang mengesahkan pengguna sebenar, penilaian nasionalis tempatan dan memberi nilai tambahan kepada penilaian pengguna yang diiktiraf oleh sistem sebagai berpengetahuan.

    Bagi senarai 100 Hidangan Tumis Asia Terbaik, 3,652 penarafan telah direkodkan, di mana 2,991 daripadanya telah diiktiraf.

    Kedudukan tersebut bertujuan mempromosikan makanan tempatan terbaik, memupuk rasa bangga terhadap sajian tradisional dan menimbulkan rasa ingin tahu tentang hidangan yang belum pernah dicuba. – ANN/Vietnam News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda