Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidangan yang tak ditelan zaman

    Nasi Lemak antara makanan tradisional yang tidak asing lagi dalam kalangan orang-orang Melayu dan ia juga disukai ramai kaum tidak kira bangsa Cina mahupun India.

    Di negara ini, nasi lemak dibungkus menggunakan daun pisang boleh didapati di pasar malam, tamu atau gerai kecil dan kadangkala dijual di kedai-kedai runcit.

    Nasi lemak mendapat namanya daripada nasi yang dimasak menggunakan santan, di mana ia menjadikan nasi menjadi lemak berkrim dan daun pandan dibubuh untuk menaikkan aroma pandan pada nasi.

    Terdapat juga sesetengah orang yang menambahkan halia atau serai ke dalam nasi lemak tersebut. Nasi lemak asalnya dimakan bersama sambal pusu atau bilis dan telur rebus.

    Tetapi kini, hidangan itu telah dipelbagaikan dengan lauk-lauk tambahan lain seperti daging masak merah, daging rendang, sambal sotong, ayam masak merah, ayam goreng, telor goreng dan kacang goreng.

    Untuk membuat nasi lemak bersama sambal pusu yang mudah, anda perlu sediakan bahan-bahannya seperti beras yang sudah dibasuh dan ditoskan, daun pandan dicarik dan disimpul, garam, halia yang dihiris dan cawan santan pekat.

    Cara menyediakannya terlebih dahulu tanak nasi dengan air secukupnya, sukatan air bergantung kepada beras seperti memasak nasi biasa dengan paras air dalam kurang satu inci atau satu paras garisan di jari.

    Kemudian masukkan garam dan juga daun pandan dalam periuk nasi dan masak seperti biasa. Bila mendidih dan air hampir kering, masukkan hirisan halia dan santan pekat tadi, dikacau rata dan siap untuk dihidangkan apabila nasi sudah masak.

    Sementara itu untuk membuat sambal pusu, bahan-bahan yang diperlukan adalah lada kisar, bawang besar yang dihiris, bawang merah dan putih yang ditumbuk, air asam jawa, ikan pusu yang sebahagiannya digoreng dan sebahagiannya ditumbuk serta sedikit perasa, gula dan garam.

    Bahan-bahan yang ditumbuk tadi ditumis bersama lada kisar sehingga pecah minyak, selepas itu barulah masukan bawang besar hiris, air asam jawa, dan sedikit air agar sambal tidak pekat.

    Bila sudah mendidih masukan ikan bilis yang digoreng tadi dan sesuaikan rasa. Jika ingin nasi lemak terlihat cantik boleh hiasi dengan bahan sampingan lain seperti telur, timun, dan kacang tanah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda