JASIN, 1 NOV – Jaguh angkat berat Filipina Hidilyn Diaz (gambar) bakal membina sebuah pusat latihan di Kampung Kesang Tua di sini, dengan menaik taraf kemudahan sedia ada bagi pembangunan sukan itu sebagai tanda penghargaan serta terima kasih kepada Melaka.
Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah berkata pemenang pingat emas Olimpik pertama Filipina itu, yang sedang menjalani kuarantin di kampung berkenaan menyatakan hasratnya, selain memperuntukkan wang sendiri berjumlah RM100,000 bagi merealisasikan projek tersebut.
“Malam tadi beliau menghubungi saya dan berbincang mengenai hasratnya menaik taraf tempat berlatih untuk digunakan oleh atlet angkat berat negara ini. Beliau memaklumkan atlet Filipina turut berminat mengadakan latihan di pusat berkenaan, sebagai persediaan mereka menghadapi pelbagai kejohanan.
“Beliau meminta saya untuk bertemu dengan kontraktor pada hari ini bagi membina dewan gimnasium angkat berat dan asrama untuk kemudahan atlet menginap di situ, selain mahu projek pembinaan itu dipercepatkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Hidilyn tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu lepas dan seterusnya menjalani kuarantin di Kampung Kesang Tua hingga 5 Nov ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Janius berkata usaha itu sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh atlet negara ini, untuk menimba ilmu dan pengalaman berlatih bersama juara Olimpik tersebut di samping melahirkan atlet yang mampu diketengahkan sekali gus mengembalikan kegemilangan sukan angkat berat di Malaysia. – Bernama