Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidrokarbon pemacu pertumbuhan industri

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Persidangan dan Pameran Teknologi Petroleum (PTEC) 2025 dengan tema Innovation for Efficiency and Sustainability in the Hydrocarbon Industry yang berlangsung sehingga 13 Februari di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, telah dilancarkan hari ini.

    PTEC 2025 dihoskan oleh Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam (PABD) dengan kerjasama Persatuan Jurutera Petroleum (SPE), Seksyen Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan PTEC 2025 ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Yang Berhormat Pehin dalam ucapan pelancaran tersebut telah menyatakan akan kepentingan Brunei PTEC 2025.

    “Sebagai sebuah negara yang memastikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai, kompetitif dan mampan adalah penting, ia bukan sahaja untuk menjaga kemakmuran jangka panjang tetapi juga untuk membina ekonomi yang kukuh dan berkembang.”

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Major Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi semasa merasmikan PTEC 2025 di ICC, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua mengunjungi pameran teknologi petroleum yang diadakan di Dewan Plenari, ICC. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Shamir Salahudin semasa menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir di majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Beliau seterusnya menambah, dalam dunia yang menghadapi cabaran perubahan iklim, Negara Brunei Darussalam mengakui bahawa industri hidrokarbon mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk mencapai keseimbangan antara keselamatan tenaga, kemakmuran ekonomi dan kemapanan alam sekitar.

    Dalam perkara ini, tambahnya, memanfaatkan teknologi dan digitalisasi menjadi lebih penting daripada sebelumnya, di mana inovasi akan menjadi kunci untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan impak terhadap alam sekitar, dan mengekalkan daya saing semasa beralih ke masa depan yang lebih mampan.

    Katanya lagi, “Hidrokarbon telah lama menjadi penting dalam memacu pertumbuhan industri dan kemajuan masyarakat, ia juga berfungsi sebagai sumber tenaga utama dan tetap integral dalam memenuhi permintaan tenaga global yang semakin meningkat.”

    Yang Berhormat Pehin turut mengumumkan pelancaran PABD Shallow Water Licensing Round dan mengalu-alukan penyertaan daripada pemain industri.

    Di majlis itu, Yang Berhormat Pehin bersama tetamu yang lain mengunjungi pameran teknologi petroleum yang diadakan di Dewan Plenari, ICC.

    Terdahulu pelancaran PTEC 2025, Pengarah Urusan PABD, Shamir Salahudin, selaku pengerusi Jawatankuasa Penganjur Brunei PTEC 2025 dalam ucapan alu-aluan antara lain menekankan kepentingan untuk mendorong perkembangan dalam menghadapi peningkatan kompleksiti industri.

    “Tema Brunei PTEC 2025 mencerminkan komitmen untuk menangani cabaran dan peluang yang mendesak yang dihadapi oleh sektor tenaga global,” jelasnya.

    PTEC 2025 antara lain bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dan inovasi dalam industri hidrokarbon serta menekankan komitmen negara untuk memanfaatkan teknologi terkini sebagai kunci untuk meningkatkan kecekapan, mampan, dan pertumbuhan jangka panjang, sementara industri ini mengharungi landskap tenaga yang sentiasa berubah.

    Turut hadir di acara itu, Timbalan Menteri (Keselamatan dan Undang-undang) di JPM dan Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM dan Pengerusi Lembaga Pengarah PABD, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah.

    Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PABD, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, duta-duta, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pegawai kanan kerajaan, ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan badan berkanun dan syarikat.

    PTEC 2025 selama empat hari ini mempamerkan teknologi, penyelesaian, dan inovasi terkini melalui satu siri perbincangan panel yang menampilkan penceramah pakar dan pemimpin dari pelbagai bidang, serta pameran yang disertai oleh pemain industri tempatan dan antarabangsa.

    Pameran dibuka untuk kunjungan orang ramai dari pukul 8 pagi hingga 4:30 petang dan untuk keterangan lanjut mengenai PTEC 2025 bolehlah ikuti Instagram di @petroleum_authority.bn atau e-mel ke brunei.ptec@pa.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda