BOGOTA, COLOMBIA, 20 JAN — Tentera laut Colombia menyelamatkan seorang lelaki dari Dominica yang berkata dia terselamat setelah 24 hari hanyut dengan bot layarnya di Caribbean dengan memakan sos tomato, serbuk bawang putih dan kiub perasa.
Elvis Francois, 47, telah mencoret perkataan ‘tolong’ dalam Bahasa Inggeris pada badan kapal, yang menurut pegawai adalah kunci untuk menyelamatkannya.
Bot layar itu dikesan dari udara 120 batu nautika barat laut semenanjung La Guajira dan Francois telah dibawa ke bandar pelabuhan Cartagena dengan sebuah kapal kontena yang lalu, kata tentera laut Colombia dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Francois memberitahu pihak berkuasa Colombia bahawa pengalaman pahitnya bermula pada bulan Disember lalu apabila arus menghanyutkan perahu layar ke laut semasa dia membuat kerja-kerja pembaikan di pulau St. Martin di Antilles Belanda, tempat dia tinggal.
“Saya menelefon rakan-rakan saya, mereka cuba menghubungi saya, tetapi saya kehilangan isyarat. Tiada apa yang dapat saya lakukan selain duduk dan menunggu,” kata Francois dalam video yang dikeluarkan oleh tentera laut.

Menurutnya, dia hidup dengan sebotol sos tomato, serbuk bawang putih dan kiub Maggi.
Komander, Carlos Urbano Montes memberitahu The Associated Press baru-baru ini bahawa Francois berkata dia mengumpul air hujan dengan kain. Dia ditemui dalam keadaan sihat, namun berat badannya telah menyusut.
Francois berkata dia perlu sentiasa mengeluarkan air dari bot untuk mengelakkannya daripada tenggelam. Dia juga cuba menyalakan api untuk menghantar isyarat kecemasan tetapi tidak berjaya.
Akhirnya, sebuah kapal terbang lalu dan dia memberi isyarat dengan cermin. Dia berkata tentera laut memberitahunya bahawa dia dikesan ketika pesawat itu berlalu sekali lagi.
“Pada satu ketika, saya kehilangan harapan dan memikirkan tentang keluarga saya, tetapi saya berterima kasih kepada pengawal pantai. Jika bukan kerana mereka, saya tidak dapat menceritakan kisah ini,” kata Francois.
Urbano Montes berkata, bot layar itu ditinggalkan di laut apabila Francois dijemput oleh kapal dagang itu.
Tentera laut berkata Francois menerima pemeriksaan perubatan di pantai dan kemudian diserahkan kepada pihak imigresen untuk dihantar pulang ke rumahnya di Dominica. – AP