Friday, December 20, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidup di dunia, hayat di bumi

    Masa dan waktu tidak akan pernah kembali, ia akan berlalu begitu sahaja sama ada sia-sia atau pergi dengan penuh makna. Umur kita pula semakin meningkat angkanya semakin berkurang pula hayat waktu kita. Masa dan waktu sangatlah berharga, ia tidak akan pernah menunggu kita.

    Titian kayu papan berunti,
    Sungai Brunei tenang sekali, tahun berubah silih berganti,
    usia berlalu tak kan kembali.

    Menurut perangkaan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu jangka hayat semasa untuk Negara Brunei Darussalam pada tahun 2024 ini ialah 76.48 tahun, peningkatan 0.18 peratus daripada tahun 2023. Jika sekiranya pada masa ini kita berumur 40 tahun, bererti kita hanya mempunyai 432 bulan atau 1877.14 minggu atau 13, 140 hari sahaja lagi untuk hidup di muka bumi ini.

    Tinggal 47.36 peratus sahaja lagi hayat yang ada. Semoga 52. 64 peratus waktu yang telah dilalui selama ini dapat memberikan manafaat kepada orang sekeliling dan segala amal ibadat yang pernah dikerjakan diterima oleh Allah. Bagaimanakah kita akan menggunakan baki hidup yang tinggal sebanyak 47. 36 peratus ini?

    Tahun berlalu silih berganti,
    titian kayu tempat bertiti,
    sembahlah tuhan Rabbul Izzati,
    suruhan Rasul kita ikuti.

    Gambar Canva
    Gambar Canva

    Nikmatilah sisa-sisa hidup ini dengan penuh makna, gembira, tenang dan bahagia bersama dengan orang-orang yang kita sayangi, kasihi, hormati dan peduli. Jalani hidup berpandukan perintah Allah dan ajaran Rasulullah SAW.

    Di usia yang sudah matang ini, banyak pengalaman telah dilalui. Pahit manis, suka duka dan sedih gembira pernah dirasa. Renung sejenak dimana kedudukan kita di sisi Allah.

    Gunakanlah segala pengalaman itu untuk memperbaiki lagi kualiti hidup kita untuk masa mendatang.

    Sekiranya selama ini kita lalai dan leka, sibuk mengejar pangkat kedudukan dan kuasa tanpa memikirkan bekalan akhirat. Sekarang dengan baki umur yang ada eloklah kita memperindah serta memperbanyakkan amal ibadat dan amal kebajikan. Hanya amal ibadat dan amal kebajikan yang diterima Allah sahaja yang akan dibawa ke akhirat nanti.

    Sebagaimana hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah:

    “Dari Zain bin Tsabit (Seorang Sahabat Nabi S.A.W), beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Siapa yang dunia menjadi keinginan terbesar di hatinya, maka Allah akan cerai-beraikan urusannya. Dan Allah jadikan kefakiran di antara kedua matanya.

    Dan dunia tidak mendatanginya kecuali yang dituliskan saja untuknya.

    “Dan siapa yang akhirat itu menjadi niat utamanya (keinginan terbesar di hatinya akhirat), Allah akan kumpulkan urusannya, dan Allah akan jadikan kekayaan di hatinya dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan dunia itu hina di matanya.”

    Marilah kita:

    1. Teruskan belajar dan mendalami pelbagai jurusan ilmu. Masih belum terlambat untuk kita mencuba dan belajar bahasa lain, belajar muzik, belajar memasak atau belajar memperbaiki kereta. Begitu juga belajar dalam bab agama terutamanya dalam bab Fiqh. Banyak sumber rujukkan yang benar-benar sahih boleh diikuti pada masa kini.

    2. Ikuti pengajian ugama, kesihatan, motivasi melalui Facebook, Instagram, Tiktok dan sebagainya boleh diakses dengan mudah. Selain itu pusat-pusat pengajian tinggi dan takmir masjid juga sering mengadakan sesi-sesi kuliah dan kelas kefahaman untuk masyarakat belajar dan menimba ilmu akhirat.

    3. Memperbaiki sebutan dalam bacaan sembahyang kita. Baca dan sebutkanlah setiap bacaan dengan penuh penghayatan dan tahu akan makna yang dibaca itu. Ini akan mengundang khyusuk dan menimbulkan seronok dalam beribadat. Gantikan ibadah fardu yang pernah ditinggalkan di masa lalu dengan mengqadha ibadah tersebut. Perbanyakkan istighfar memohon ampun kepada Allah setiap waktu. Dengan istighfar, hati jadi tenang dan doa dikabulkan.

    4. Rajin untuk sembahyang berjemaah seboleh–bolehnya di masjid. Paling tidak berjemaah bersama keluarga di rumah. Bimbinglah anak dan keluarga untuk bersembahyang bersama. Antara kelebihan sembahyang berjemaah bersama keluarga ialah :

    I. Menunjukkan kepimpinan kita kepada anak–anak. Ini akan menjadi contoh tauladan yang baik kepada mereka.

    II. Selepas sembahyang berjemaah berikanlah sedikit tazkirah. Pada waktu inilah masa yang paling sesuai untuk membuat teguran, memberikan nasihat dan pujian, menyampaikan peringatan serta arahan.

    III. Pada waktu inilah didikan ibu bapa di rumah selepas sembahyang berjemaah benar-benar dilaksanakan dalam suasana yang harmoni dan diberkati.

    IV. Hubungan kekeluargaan dapat dieratkan. Perbincangan, berkongsi cerita dan pendapat dapat dilakukan dengan harmoni. Maka ungkapan doa “semoga menjadi keluarga Sakinah Mawaddah Wa Rahmah” yang sering diungkapkan sewaktu majlis-majlis perkahwinan akan menjadi kenyataan.

    Ajaran Nabi kita turuti, larangan Allah kita jauhi, hidup di dunia diberkati, bahagia di syurga akan menanti.

    Menurut Kamus Dewan Edisi 4, Undang–undang bermaksud suatu peraturan atau seluruh peraturan yang digubal (dibuat) oleh kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat berkenaan.

    Yaqin (1996), pula menyatakan undang-undang adalah satu set peraturan yang mentadbir tingkah laku manusia. Tujuannya adalah untuk keadilan dan mestilah bersesuian, diterimapakai dan dipersetujui secara umum oleh masyarakat.

    Patuhilah peraturan dan arahan yang telah ditetapkan di sekolah dan di tempat kerja. Ikuti undang-undang negara agar hidup kita bersama masyarakat sejahtera dan damai. Semua yang kita kerjakan didunia ini akan dipersoal, dihitung dan dikira.

    Nikmat syurga itu pasti, bagi hambaNya beriman di hati, ibu bapa kita kasihi, rakan taulan dihormati.

    Laksanakan tanggung jawab kita sebagai seorang anak dengan mengasihi dan menjaga orang tua kita sebagaimana mereka menjagai kita sedari kecil lagi. Sayangi isteri dan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan tanggung jawab.

    Kalinga tumbesaran anak-anak, ambil perhatian perkembangan pelajaran mereka di sekolah. Tunaikan hak-hak anak selama mana di bawah tanggungan kita sebagai ibu bapa dengan menyekolahkan mereka, memberi makan, pakaian dan keselamatan tempat tinggal di rumah. Berilah pendidikan agama, didik dengan adab dan sopan santun bepandukan falsafah negara, Melayu Islam Beraja.

    Tandanya sopan beradab pekerti, tertib peraturan indah bud , tandanya santun, ihsan serta baik hati, kawan sayangi lawan galati.

    Jaga perhubungan tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa. Tolong-menolong dan hidupkan budaya memucang-mucang sesama jiran tetangga. Jangan camah mata dengan membiarkan sesuatu yang kurang manis berlaku didepan mata. baik hati dan ringan tulang itu akan dikenang manis sahabat dan jiran. Cegahlah kemungkaran. Jalani hidup dengan berprinsip dan berintegreti.

    Dengan sisa umur yang ada ini, sama-samalah kita kejar akhirat dengan mengerjakan amal soleh dan amal kebajikan. Jadilah insan yang bermanafaat untuk masyarakat dan negara.

    Kenikmatan dan kesenangan Dunia pasti akan mengikut kita jika akhirat menjadi keutamaan.

    Cikgu Roya

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda