Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Hidup dibelenggu pencemaran’

    MEJILLONES, CHILE – Dengan airnya yang berwarna hijau zamrud dan pasir putih, bandar kecil Mejillones di utara Chile tidak lain kelihatan seperti pusat peranginan tepi laut yang tipikal.

    Namun, loji-loji arang batu dan kilang-kilang yang menggunakan arang batu mengeluarkan asap berbahaya ke udara, mengingatkan bahawa bandar di Gurun Atacama itu adalah salah satu daripada lima ‘zon korban’ di negara itu, di mana penduduk semuanya hidup dibelenggu pencemaran.

    Chile telah melancarkan kempen peralihan tenaga yang pesat dan berjanji untuk menutup 28 unit loji kuasa arang batu menjelang tahun 2040, sembilan daripadanya sudah ditutup.

    “Kesan pengeluaran elektrik daripada arang batu adalah besar dari segi krisis iklim, tetapi juga kesan ke atas zon korban,” kata Estefania Gonzalez, dari pejabat Greenpeace yang meliputi Argentina, Chile dan Colombia.

    Penduduk tidak sepatutnya “dibiarkan tanpa perlindungan apabila sebuah syarikat datang, mengeksploitasi wilayah tertentu dan kemudian pergi,” katanya, sambil menggesa peralihan tenaga secara adil yang membolehkan kawasan yang rosak ‘diperbaiki’.

    Gambar AFP
    Dengan air pantai yang biru, pasir halus dan payung yang cantik, pekan kecil Mejillones mempunyai semua ciri-ciri resort tepi pantai yang klasik. – AFP
    Gambar tangkapan udara menunjukkan orang ramai menikmati keindahan pantai di Mejillones pada 25 Januari lalu. – AFP

    Mejillones dijangka mula menutup unit loji kuasa arang batu yang pertama daripada lapan unitnya pada akhir tahun ini.

    Ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk meyakinkan syarikat tenaga untuk membaiki kerosakan yang telah dilakukan oleh mereka ke atas alam sekitar apabila mereka pergi.

    Menteri Tenaga Chile, Diego Pardow baru-baru ini memberitahu wartawan bahawa unit arang batu yang lebih lama ‘tidak diwajibkan mengikut undang-undang untuk mengambil kira pertimbangan alam sekitar’.

    “Ia adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu kita atasi hari ini. Ia bukan sekadar mematikan suis, tetapi mengurus segala yang berkaitan dengannya.”

    Di jeti pelabuhan perikanan di bandar yang mempunyai 13,000 penduduk itu, di tengah-tengah Gurun Atacama, Jose Gonzalez, 58, berkata dia menghidap kanser buah pinggang tahap empat dan sedang mengambil cuti sakit daripada tugasnya sebagai ejen pelabuhan.

    “Pencemaran sangat teruk,” katanya, sambil menunjuk ke arah rangkaian syarikat yang dikaitkan dengan industri kimia dan loji arang batu yang bertaburan di teluk Pasifik yang luas dan dipercayai merupakan punca penyakitnya. “Semua orang menghidap kanser”.

    Namun, tidak mudah untuk mengaitkan penyakit seperti kanser dengan industri pencemar tempat mereka tinggal.

    “Bertahun-tahun boleh berlalu sebelum seseorang menyedari wujudnya kaitan,” kata Michel Marin, seorang pakar bedah dan presiden Kolej Perubatan Antofagasta.

    Kajian tahun 2019 yang dibiayai oleh wilayah Antofagasta utara, menunjukkan kehadiran logam berat dan bahan organik daripada pelepasan sisa industri dan air sisa di teluk berdekatan.

    Beberapa pengunjung musim panas bersantai di bawah payung jerami di pantai atau berenang ke perairannya yang sejuk. Anjing laut berkeliaran berdekatan di teluk kecil nelayan, dan semenanjung yang lebih luas adalah tempat makan ikan paus biru dan paus sirip.

    Meskipun keindahan laut, Jose Sanchez, setiausaha kesatuan nelayan, berkata ‘teluk itu sudah mati’.

    “Dasar laut tercemar, terdapat kurang spesies, kurang haiwan moluska.”

    Keadaan yang teruk telah mengurangkan bilangan nelayan di kawasan itu, yang dahulunya berjumlah 300.

    Pembakaran arang batu melepaskan banyak bahan kimia berbahaya ke udara dan walaupun loji-loji telah memasang penapis khas untuk mengurangkan pencemaran, ia tidak akan hilang selagi ‘taman arang batu dibuka’, kata ahli majlis perbandaran, Manuel Monardes Rojas.

    Namun, dia menegaskan pantai yang indah adalah ‘zon bersih’ disebabkan jaraknya dari kawasan perindustrian.

    “Mejillones kini menumpu kepada pelancongan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda