GUA MUSANG, 4 JAN – Kira-kira 500 masyarakat Orang Asli di Pos Brooke, di sini, hidup dalam ketakutan akibat ancaman seekor gajah liar yang muncul di penempatan mereka dan merosakkan tanaman yang diusahakan penduduk sejak Sabtu lepas.
Tok Batin Rian Bujang, 48, berkata haiwan itu bukan sahaja merosakkan tanaman penduduk, malah masuk ke kawasan kampung selain menceroboh padang bola pada waktu tengah hari dan petang meskipun ada penduduk sedang bermain bola sepak pada waktu itu.
Katanya, ekoran serangan gajah selama tiga malam berturut-turut, para pekebun di sini mengalami kerugian dianggarkan lebih RM20,000 apabila sebahagian besar tanaman seperti ubi kayu, pisang, tebu dan petai yang diusahakan mereka dimakan dan dirosakkan.
“Gajah liar itu dipercayai datang ke kawasan kampung untuk mendapatkan makanan dan memusnahkan tanaman yang diusahakan 20 penduduk di sini.” – Bernama