Friday, January 3, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidup menderita dalam timbunan sampah dari Barat

    YANGON – Di sebuah kawasan berpendapatan rendah di Yangon, Myanmar, sisa plastik dilonggokkan setinggi satu meter, hasil daripada apa yang dikatakan dalam penyiasatan baru-baru ini sebagai pembuangan besar-besaran sisa-sisa sampah Barat yang tidak terkawal.

    Selama beberapa tahun, kawasan di seluruh perbandaran Shwepyithar telah menjadi tempat pelupusan sampah yang menghalang tanah pertanian, menyekat aliran air hujan musim monsun dan meningkatkan risiko kebakaran.

    Sampah itu adalah hasil daripada pengeluaran plastik global, yang telah meningkat lebih daripada dua kali ganda sejak permulaan abad ini, mencapai 460 juta tan setiap tahun.

    “Pada masa lalu, semasa musim hujan saya boleh memetik daun selada air dari ladang ini untuk dimakan,” kata seorang penduduk kepada AFP, yang meminta agar namanya tidak didedahkan atas faktor keselamatan.

    “Namun, disebabkan oleh sisa plastik, sekarang kita tidak boleh lagi mendapatkan daun selada air untuk dimakan. Sebaliknya, kita terpaksa menanggung bau yang tidak menyenangkan.”

    Foto yang diambil pada 11 Oktober menunjukkan seorang budak lelaki berjalan melintasi sisa plastik yang ditutup dengan campuran sekam padi dan pasir di perbandaran Shwepyithar, Yangon. – AFP
    Menurut penduduk tempatan, sebahagian besar sisa tersebut datang daripada kilang kitar semula yang berdekatan. – AFP
    Pembuangan sisa yang berleluasa telah menghalang tanah pertanian, menyekat aliran air hujan musim monsun dan meningkatkan risiko kebakaran. – AFP
    Campuran sekam padi dan pasir digunakan untuk menutup timbunan sisa plastik di perbandaran Shwepyithar, Yangon. – AFP

    Satu siasatan yang dikeluarkan baru-baru ini oleh ruangan berita kolaboratif, Lighthouse Reports dan enam rakan kongsi telah mendapati bahawa sebahagian daripada sisa yang dibuang di sini datang dari Barat.

    Sisa-sisa tersebut termasuk pembalut dan bekas untuk produk seperti yogurt Danone dan keju daripada syarikat Poland, Spomlek.

    Barangan daripada rangkaian pasar raya United Kingdom (UK) yang dimiliki oleh syarikat Jerman, Lidl dan pembungkusan pasta daripada Unico Kanada juga telah ditemui.

    Walau bagaimanapun, tiada satu pun daripada sisa-sisa ini berasal dari Myanmar, tetapi ia telah berakhir di sana walaupun terdapat undang-undang yang melarang pengimportan sisa plastik melainkan ia bersih dan sedia untuk dikitar semula.

    Larangan itu dikenakan selepas China menghentikan penerimaan sisa plastik asing pada 2018.

    Beberapa kilang kitar semula tempatan mengakui kepada Lighthouse Reports bahawa sisa yang tidak dapat diproses oleh mereka sering dibuang atau dibakar.

    KURANGNYA PENGAWASAN SEMPADAN

    Bagaimana sisa-sisa ini memasuki Myanmar, dan berapa jumlahnya adalah tidak jelas.
    Siasatan menunjukkan bahawa Thailand adalah laluan utama bagi plastik yang dieksport secara haram.

    Menurut data Pertukaran Komoditi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Comtrade), kebanyakan import sisa plastik Myanmar datang dari Thailand.

    Hampir 7,500 tan memasuki Myanmar pada 2021, tahun terakhir di mana data dilaporkan.

    Tetapi, sempadan sepanjang kira-kira 2,400 kilometer yang dikongsi oleh kedua-dua negara itu sangat mudah dilalui oleh pengedar dan penyeludup.

    Pihak berkuasa di kedua-dua belah sempadan tidak banyak melakukan pemeriksaan sisa yang tiba, kata Lighthouse Reports.

    “Data yang dikumpulkan sering kali sudah mansuh, dan tiada semakan terhadap data tersebut,” kata Willie Wilson, bekas naib pengerusi Kumpulan Kerja Jenayah Pencemaran Interpol, merujuk bukan sahaja kepada Comtrade tetapi semua data perdagangan.

    “Kami ditinggalkan dengan data yang salah diisytiharkan dan hilang. Ia adalah lesen untuk bersembunyi secara terang-terangan.”

    Pada Julai, junta Myanmar mengatakan terdapat perbezaan sebanyak AS$1.639 bilion antara apa yang dikatakan oleh Thailand telah dieksport ke Myanmar, dan apa yang dikatakan oleh Myanmar telah diimport dari Thailand.

    Perbezaan yang besar ini ‘mungkin disebabkan oleh perdagangan haram’, kata Jawatankuasa Pemandu Pembasmian Perdagangan Haram Myanmar.

    AFP telah menghubungi beberapa syarikat yang produknya ditemui di Myanmar untuk bertanya bagaimana barang-barang tersebut boleh tiba di sana, tetapi tidak menerima jawapan segera.

    Penduduk tempatan di Shwepyithar memberitahu AFP bahawa sebahagian besar sisa yang dibuang di kawasan kejiranan mereka datang daripada kilang kitar semula di zon perindustrian berdekatan.

    Tetapi risiko untuk membantah tindakan sedemikian di Myanmar, yang telah dikuasai oleh junta tentera sejak rampasan kuasa 2021, adalah tinggi.

    Hal itu telah menyebabkan kawasan lapang di Shwepyithar yang sebelum ini diperuntukkan untuk padang bola sepak berubah menjadi kawasan berlumpur yang dipenuhi dengan sisa plastik, kata seorang penduduk.

    “Saya tahu ini tidak baik untuk jangka panjang,” katanya kepada AFP, meminta untuk dirahsiakan identitinya kerana bercakap mengenai isu sensitif.

    “Saya tidak suka langsung,” kata seorang lagi, yang juga bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan. “Tetapi kita tidak boleh buat apa-apa.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda