Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidup susah buatkan Mila Jirin berjuang di usia muda

    Penyanyi dan usahawan Malaysia, Mila Jirin pernah hidup dalam serba kesusahan dan kedaifan ketika kecil yang membuatkan beliau berjuang pada usia muda untuk mengubah hidupnya.

    Memetik laporan mStar, menurut Mila atau Norsyarmilla Jirin, 37, ibu bapanya terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

    Malah disebabkan terlalu daif, rumahnya juga tidak mempunyai bekalan elektrik selain hanya mengisi perut kosong dengan nasi berlaukan air garam.

    “Keluarga saya sangat daif dahulu. Ayah tak ada kerja tetap, sebelum ini hanya kerja kampung di siang hari dan malam ayah main muzik.

    “Ayah kerja macam-macam termasuk kerja kampung, main muzik, melukis dan cari barangan terpakai untuk dijual semula.

    “Mak pula kerja kilang. Hidup susah adalah perkara normal yang saya lalui. Makan nasi dengan minyak ikan itu biasa, makan nasi dengan air garam itu biasa. Teman ayah menjala ikan di laut tengah malam dan tunggu dalam gelap di pantai.

    “Rumah tanpa elektrik hanya lampu gaselin menemani kami. Bumbung rumah bocor bila hujan lebat mesti penuh dalam rumah dengan baldi atau periuk,” katanya.

    Mila berkongsi perkara itu menerusi filem pendek berjudul Kakak bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Instagram miliknya.

    Sebagai anak sulung kata Mila, beliau turut menjadi saksi pengorbanan dan kepayahan kedua ibu bapanya dalam membesarkan adik-beradiknya.

    Kata Mila, ketika usianya 19 tahun beliau sudah menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi membantu meringankan beban ibu bapanya walaupun ada memandang serong terhadap mereka.

    Keberanian itu membuahkan hasil apabila berjaya membeli sebuah rumah untuk keluarganya ketika beliau berusia 21 tahun.

    “Sebenarnya apabila saya lihat semula, setiap ujian Allah berikan adalah untuk membuatkan kami jadi lebih cekal dan kuat berjuang.

    “Masa susah, penghinaan orang sekeliling itu perkara biasa tapi perkara itu juga membuatkan saya memberontak untuk keluar daripada kesusahan,” katanya.

    Berkongsi mengenai filem pendek dihasilkan, Mila memberitahu karya itu turut mendapat sokongan daripada semua ahli keluarganya.

    Malah berharap kisah hidup mereka menjadi inspirasi dan suntikan semangat kepada orang ramai dalam mengubah nasib diri.

    “Semoga input kisah kami dapat memberi suntikan semangat terutamanya kepada mereka yang sedang diuji kesempitan hidup, masalah kewangan dan berjuang membesarkan anak-anak,” katanya.

    Filem pendek itu adalah hasil tulisan Mila dan diterbitkan pasukan media Bizmilla Wedding Centre bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

    Ia diarahkan oleh Wan Ahmad Adlan dan Hayati Hashim. – Agensi

    Mila menghargai setiap kenangan hidupnya sebelum bergelar penyanyi. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda