Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidup tersepit tanpa bekalan di Gaza

    RAFAH, WILAYAH PALESTIN – Di selatan Semenanjung Gaza, berpuluh-puluh orang beratur di bilik air, kebanyakan mereka tidak mandi selama beberapa hari selepas Israel memutuskan bekalan air, elektrik dan makanan berikutan serangan maut Hamas.

    Ahmed Hamid, 43, melarikan diri dari Bandar Gaza bersama isteri dan tujuh anaknya, menuju ke Rafah selepas tentera Israel pada hari Jumaat memberi amaran kepada penduduk di utara enklaf itu supaya berpindah ke selatan ‘demi keselamatan mereka sendiri’.

    “Kami sudah beberapa hari tidak mandi. Malah pergi ke tandas pun perlu menunggu giliran dalam barisan,” beritahu Hamid kepada AFP.

    “Tidak ada makanan. Semua barang tidak ada dan kos barangan yang ada telah melonjak. Makanan yang kami dapati hanyalah tin tuna dan keju.

    “Saya rasa seperti satu bebanan, tidak dapat berbuat apa-apa.”

    Penduduk Palestin berbaris untuk mengisi bekas air di Bandar Gaza. – Gambar AFP
    Orang memasak di atas kayu api di tengah kekurangan bahan api dan gas, untuk menyediakan makanan untuk penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal selepas serangan Israel di Khan Yunis. – Gambar AFP
    Penduduk Palestin membawa botol dan bekas kosong untuk diisi air di kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza. – Gambar AFP
    Penduduk Palestin menyimpan stok air dan roti di Bandar Gaza. – Gambar AFP
    Orang ramai membeli makanan di kem pelarian Rafah di Semenanjung Gaza. – Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa kira-kira satu juta orang telah kehilangan tempat tinggal sejak Israel memulakan pengeboman udara tanpa henti ke atas Gaza sebagai tindakan balas terhadap serangan maut Hamas pada 7 Oktober.

    Serangan Hamas menyebabkan lebih 1,400 orang terbunuh di pihak Israel, kebanyakannya orang awam.

    Di pihak Gaza, sekurang-kurangnya 2,670 telah terkorban dalam pengeboman tanpa henti, majoriti daripada mereka rakyat Palestin biasa.

    Israel juga memutuskan semua bekalan air, elektrik dan makanan ke enklaf pantai yang berpenduduk padat, sebelum menyambung semula air ke kawasan selatan pada Ahad.

    Mona Abdel Hamid, 55, meninggalkan rumahnya di Bandar Gaza, menuju ke rumah saudara-maranya di Rafah.

    Sebaliknya, dia mendapati dirinya berada di rumah orang yang tidak dikenalinya.

    “Saya rasa sungguh malu dan hina. Saya mencari perlindungan. Kami tidak mempunyai banyak pakaian dan kebanyakannya kotor sekarang, tanpa air untuk membasuhnya,” katanya.

    “Tiada elektrik, tiada air, tiada Internet. Saya rasa seperti kehilangan naluri kemanusiaan saya.”

    ‘Hidup berpindah-randah’

    Sejak Jumaat, Sabah Masbah, 50, tinggal bersama suami, anak perempuan dan 21 saudara lain di rumah rakannya di Rafah.

    “Perkara yang paling teruk dan paling berbahaya ialah kami tidak dapat mencari air. Tiada seorang pun daripada kami mandi sekarang kerana air sangat terhad,” katanya kepada AFP.

    Di rumahnya di Khan Yunis, berhampiran sekolah yang dikendalikan oleh agensi PBB yang menyokong pelarian Palestin, Esam berkata, “Kami menerima tetamu yang dipindahkan dari kawasan Bandar Gaza, kejiranan Al-Rimal dan Tal al-Hawa.”

    Tetapi ‘air merupakan satu masalah’, kata lelaki berusia 23 tahun itu yang tidak mahu memberikan nama penuhnya.

    “Setiap hari, kami memikirkan macam mana nak ambil air… Kalau kami mandi, kami takkan minum.”

    Mereka yang telah mendapatkan perlindungan di sekolah UNRWA juga terdesak mencari makanan dan air.

    Pengarah komunikasi agensi PBB, Juliette Touma, memberitahu AFP lebih ramai orang mungkin akan kehilangan tempat tinggal ‘ketika penduduk terus meninggalkan rumah mereka’.

    Israel sedang mengumpulkan pasukan tentera dan senjata di sempadan dengan Gaza menjelang serangan darat yang dijangka berlaku bila-bila masa.

    Walaupun perintah pemindahan Israel, terdapat serangan udara di selatan, termasuk di Rafah, di mana seorang penduduk berkata rumah seorang doktor menjadi sasaran.

    “Semua keluarga telah dihapuskan,” kata Khamis Abu Hilal.

    Alaa al-Hams menunjukkan tanda-tanda baharu pengeboman di kawasan kejiranan di Rafah.

    “Saya melihat kemusnahan besar-besaran. Mereka mengatakan terdapat keganasan di sini. Di manakah kemanusiaan yang diperkatakan mereka?” katanya.

    “Semuanya orang awam di sini, tiada kaitan dengan mana-mana organisasi, tetapi mereka mati… tiada siapa yang masih hidup.”

    Samira Kassab berdiri di atas sisa-sisa peninggalan yang pernah menjadi rumahnya di Rafah, bertanya, “Ke mana kita akan pergi? Di manakah negara Arab?

    “Kami telah menghabiskan seluruh hidup kami dalam perpindahan. Rumah kami, yang menempatkan semua anak saya, telah dibom… Kami tidur di jalanan dan tiada apa-apa lagi yang tinggal,” katanya.

    “Kami diasingkan. Anak perempuan saya menghidap kanser dan saya tidak boleh membawanya ke hospital. Saya sendiri menghidap hipertensi dan diabetes.”

    Dikelilingi oleh cucu-cucunya dia berkata, “Saya tidak akan meninggalkan tempat ini tidak kira apa yang berlaku, walaupun sekiranya saya mati.

    “Kami merayu meminta roti daripada jiran kami, tetapi kami tidak akan berpisah dengan sebutir pasir dari kampung halaman kami.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda