Kekasih anak selebriti sensasi Indonesia, Nikita Mirzani iaitu Vadel Badjideh memberitahu air matanya tumpah apabila mengenangkan nasib teman wanitanya yang kini berada di sebuah pusat pemulihan wanita.
Kata Vadel, sebelum ini dia hanya menangis kerana hal-hal yang berkaitan dengan keluarga namun itu merupakan kali pertama air matanya tumpah untuk seorang perempuan.
“Pertama kali aku menangis kerana perempuan. Biasanya aku menangis hanya untuk keluargaku kerana aku sayang mereka, tetapi kali ini aku menangis sebab kamu, aku sedih sayang,” luahnya.
Meskipun sudah tidak lagi berkomunikasi, Vadel turut menyampaikan perasaannya terhadap Lolly dan berjanji akan sentiasa berada di sisi teman wanitanya itu.
“Jujur aku sangat cinta dan sayang pada kamu, setelah aku melihat masalah yang menimpa kita, aku sedar bahawa aku perlu terus berada di samping kamu selamanya,” katanya.
Memetik laporan mStar, Vadel berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di InstaStory miliknya.
Dalam pada itu, Vadel memberitahu hidupnya seakan tidak bermakna selepas lima hari tidak dapat berhubung dengan anak selebriti tersebut. – Agensi
