Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidupan liar Pantanal diancam kebakaran

    RIO DE JANEIRO – Kebakaran yang melanda di Pantanal, tanah paya tropika terbesar di Bumi, sedang mengancam taman negara terkenal sebagai tempat tinggal kepada jumlah jaguar terbesar di dunia, menurut pihak berkuasa Brazil.

    “Kor tentera menghantar dua pasukan bomba bantuan hari ini untuk memerangi satu kebakaran di Taman Negara Encontro das Aguas,” kata kerajaan negeri Mato Grosso dalam satu kenyataan.

    “Mereka menyertai 46 anggota yang telah pun berada di sana untuk memerangi kebakaran.”

    Pasukan bomba dan pihak berkuasa alam sekitar juga menyelamatkan dua wanita dan tujuh kanak-kanak di rantau itu apabila rumah mereka hampir hangus dijilat api, kata kenyataan.

    Pantanal, yang terletak di selatan hutan hujan Amazon dan terbentang dari Brazil ke Paraguay dan Bolivia, telah dibelenggu kebakaran teruk pada tahun ini.

    Pemandu pelancong Roberto Carvalho berjalan di sebelah bangkai kerbau yang ditemui di kawasan terbakar, sementara mencari tanda-tanda jaguar cedera di tanah paya Pantanal. – AFP
    Pemandu pelancong Roberto Carvalho berjalan di sebelah bangkai kerbau yang ditemui di kawasan terbakar, sementara mencari tanda-tanda jaguar cedera di tanah paya Pantanal. – AFP
    Seekor jaguar cedera berehat di Taman Encontros das Aguas, di rantau Porto Jofre Pantanal, Mato Grosso, Brazil pada 15 September 2020. – AFP

    Telah pun terdapat lebih kebakaran di Pantanal Brazil pada tahun ini – 12,102 – berbanding seluruh tahun 2018 dan 2019, menurut data satelit yang dikumpul oleh agensi angkasa lepas negara Brazil, INPE.

    Pada Julai, satelit mengesan 1,684 kebakaran di rantau itu, lebih tiga kali ganda daripada jumlah pada Julai 2019 dan bulan paling teruk yang dicatat sejak INPE memulakan penjejakan pada 1998.

    Pantanal adalah terkenal dengan biodiversitinya yang meluas, termasuk jaguar, spesies yang disenaraikan sebagai ‘hampir pupus’ oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula jadi disebabkan jumlahnya yang semakin berkurangan.

    Silang-menyilang oleh lima batang sungai, Taman Negara Encontro das Aguas merentasi 109,000 hektar tanah di barat-tengah Brazil.

    Anggota bomba sedang bertungkus-lumus untuk melindungi hotel dan ladang di rantau, serta taman, kata pihak berkuasa negeri.

    Brazil juga sedang bergelut untuk memerangi kebakaran yang meningkat di Amazon.

    Jumlah kebakaran di hutan hujan pada bulan lalu merupakan yang kedua tertinggi dalam satu dekad untuk Ogos, pada 29,307.

    Ia hanya di bawah tahap krisis yang mencetuskan aliran kecaman dari pihak antarabangsa tahun lalu, sekali gus memberikan tekanan kepada Presiden Jair Bolsonaro, yang tidak mengheboh pemusnahan hutan hujan terbesar dunia dan menggesa tanah dilindungi dibuka kepada perlombongan dan perladangan.

    Pakar berkata kebanyakan kebakaran dimulakan secara sengaja, biasanya oleh petani dan pemilik ladang untuk membersihkan tanah. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda